Darurat tiada kaitan politik dan mungkin tamat awal, kata Muhyiddin

Darurat tiada kaitan politik dan mungkin tamat awal, kata Muhyiddin

Perisytiharan darurat sama sekali tiada kaitan dengan politik atau untuk membolehkan Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan sebagai perdana menteri, sebaliknya langkah itu bagi membolehkan isu Covid-19 diuruskan secara berkesan dan segera.

Ketika menjelaskan kedudukan sebenar darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas nasihatnya, Muhyiddin berkata, beliau tetap berpegang kepada janji yang darurat akan ditamatkan lebih awal dari 1 Ogos, jika pandemik itu berjaya dibendung.

“…kalau boleh selesai awal (dan) jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan kata dah boleh (tamat), saya ikut sajalah…Kita pun tak nak selama-lama dikongkong oleh peraturan sebegini,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau menjadi perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara.

Muhyiddin berkata, melalui Ordinan Darurat, kerajaan boleh mencadangkan pindaan terhadap beberapa akta atau perkara baru yang ingin dibuat dalam bentuk ordinan tanpa menunggu proses melalui Parlimen dan mengambil masa yang lama.

Tak bimbang sokongan di Parlimen

“Jadi, saya sebutkan ini bukan makna darurat itu untuk darurat supaya saya boleh duduk lama jadi perdana menteri, saya pun tak tahu parti mana sekarang yang mempunyai jumlah kerusi lebih besar daripada saya, dulu adalah contoh (cubaan) nak tunjukkan, tapi tak terbukti.

“Saya yakin saya mempunyai sokongan yang besar. Saya yakin kedudukan saya ini mengikut Perlembagaan, sah di sisi undang-undang. Saya tak boleh duduk sebagai perdana menteri haram. Saya buat kerja betul, tu sebabnya. Jadi, saya tak bimbang itu.

“Tapi, perisytiharan darurat ni bukan soal politik, ada orang politik faham sebab politik, tidak. Politik tiada penggunaan darurat, tapi Covid ini perlukan darurat…Jadi, saya harap rakyat faham, bukan pasal soal takut tak dapat majoriti di Parlimen.”

‘Tak nak tunggu sehari pun untuk adakan PRU’

Katanya, pilihan raya umum ke-15 akan diadakan bila tiba masa sesuai kerana apa yang penting sekarang ialah kerajaan perlu menyelesaikan isu pandemik Covid-19 terlebih dahulu yang sehingga kini menjangkiti hampir 300,000 orang di seluruh negara dan menyebabkan lebih 1,000 kematian.

“…yang mustahak kita selesaikan ini (Covid) dulu. Apabila selesai, saya tak nak tunggu sehari pun…bukan kita bimbang apa-apa pun.”

Jangkitan Covid-19 mula melanda negara pada 25 Jan 2020 dengan gelombang pertama melibatkan kes import, manakala gelombang kedua pada akhir Februari 2020. Kes jangkitan Covid-19 memasuki gelombang ketiga pada pertengahan September 2020 selepas pilihan raya negeri di Sabah.

Berikutan kes gelombang ketiga yang sehingga kini melonjak daripada puluhan kepada ribuan kes sehari, Muhyiddin menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat. Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah memberi perkenan darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos.

Agong turut berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan, untuk mengesyorkan kepada Sultan Abdullah sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/28/isytihar-darurat-tiada-kaitan-politik-kata-muhyiddin/