Darurat : Penjawat awam perlu siap sedia beri khidmat sokongan kesihatan dan keselamatan

Penjawat awam sedia untuk dikerah ke mana-mana agensi yang memerlukan perkhidmatan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19, khususnya bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata pihaknya bersetuju dengan pendekatan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat itu berkaitan mobilisasi perkhidmatan awam bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang pelaksanaan perintah darurat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberi jaminan keselamatan kepada kakitangan awam yang bakal ditempatkan bagi memberi khidmat sokongan kesihatan dan keselamatan.

“Sokongan kepada perkhidmatan kesihatan dan keselamatan mampu meredakan sedikit tekanan yang dipikul oleh petugas kesihatan ketika ini, yang berada pada tahap maksimum.

“Bagaimanapun, CUEPACS berharap kakitangan awam yang ditempatkan bagi memberi khidmat sokongan kesihatan dan keselamatan itu perlu diberi jaminan dari segi keselamatan.

“Isu mengenai kekurangan kelengkapan perlindungan diri, jadual waktu bertugas serta tempoh masa bertugas perlu diberi penekanan telilti oleh pihak jawatankuasa teknikal supaya tiada perkara berbangkit, terutama membabitkan isu keselamatan daripada jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, mengenai langkah kerajaan kerajaan melaksanakan mobilisasi sumber perkhidmatan awam persekutuan dan negeri bagi membantu agensi yang memerlukan perkhidmatan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19.

Langkah itu termasuk penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan perkhidmatan tambahan, terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Mengulas lanjut, Adnan mahu agensi yang bertindak sebagai penyelaras dapat mengeluarkan pekeliling yang jelas berkenaan perkara itu bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam.

Tegasnya, CUEPACS yakin penjawat awam tiada masalah dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan kerana setiap daripada mereka telah dilatih untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Dalam masa sama, jawatankuasa teknikal perlu memastikan tugas yang sedang dilaksanakan oleh kakitangan awam yang dipinjam itu di jabatan hakiki mereka, tidak terjejas bagi memastikan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya. –BH