Darurat mencacatkan demokrasi, bukan melengkapkan demokrasi

Ada teman yang menghantar tangkap layar bertajuk “Darurat melengkapkan Demokrasi”. Kita tidak pasti sama ada memang itu yang dihasratkan oleh tuan punya gambar tersebut atau tajuk itu adalah semata-mata sensasi media harakahdaily.

Zaman sekarang ini tajuk sesuatu berita memainkan peranan penting. Berita yang tidak enak didengar akan menjadi enak bila mana tajuk berita itu berbentuk sensasi walhal kandungan berita itu biasa-biasa sahaja.

Tajuk sesuatu gambar mudah ditangkap oleh otak dan jika tajuk itu memberikan propaganda maka otak kita secara bawah sedar menerima propaganda itu melainkan orang itu berfikir secara kritis.

Tajuk ‘Darurat melengkapkan Demokrasi’ itu sangat bersalahan dengan prinsip demokrasi sendiri. Mana mungkin demokrasi yang dibentuk dengan tiga elemen utama iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman akan lengkap apabila legislatif itu telah diganti dengan elemen darurat. Adakah patut kita mengatakan Darurat melengkapkan Demokrasi sedangkan kita semua tahu darurat inilah penyebab utama Parlimen ditutup dan pilihan raya tidak dapat diadakan. Bukan setakat itu, hak asasi rakyat untuk bergerak secara bebas dalam Persekutuan pun sudah lama disekat dengan sekatan rentas daerah dan negeri.

Lainlah jikalau tajuk itu diubah kepada ‘Darurat melengkapkan Perlembagaan’. Tajuk seperti ini masih boleh diterima walau pun ianya akan mengundang kontroversi. Itu juga yang menjadi rekomendasi Suruhanjaya Reid semasa mencadangkan peruntukan ini.

Suruhanjya Reid menyatakan semasa menggubal Perlembagaan, “Neither the existence of fundamental rights nor the division of powers between the Federation and the States ought to be permitted to imperil the safety of the State or the preservation of a democratic way of life. The Federation must have adequate power in the last resort to protect these essential national interest. But in our opinion infringement of fundamental rights or of State rights is only justified to such an extent as may be necessary to meet any particular danger which threatens the nation. We therefore recommend that the Constitution should authorise the use of emergency powers by the Federation but the occasions on which, and so far as possible the extent to which, such powers can be used should be limited and defined” -Para 172, Federation of Malaya Constitutional Commission, 1956-1957 Report, 11th February 1957.

[Terjemahan:- Baik kewujudan hak asasi mahupun pembahagian kuasa antara Persekutuan dan Negeri-Negeri tidak boleh diizinkan untuk mengancam keselamatan Negeri atau pemeliharaan cara hidup demokratik. Persekutuan mesti mempunyai kuasa yang mencukupi sebagai usaha terakhir untuk melindungi kepentingan nasional yang penting ini. Tetapi pada pendapat kami pelanggaran hak asasi atau hak Negeri hanya dibenarkan sejauh yang diperlukan untuk menghadapi bahaya tertentu yang mengancam negara. Oleh itu, kami mengesyorkan agar Perlembagaan mengizinkan penggunaan kuasa darurat oleh Persekutuan tetapi pada masa-masa di mana, dan sejauh mungkin kuasa tersebut hendaklah terhad digunakan dan dalam perincian yang jelas].

Ini menunjukkan bahawa penggubal Perlembagaan sendiri tidak menganggap darurat sebagai pelengkap demokrasi. Kalau benarlah penggubal Perlembagaan menganggap darurat sebagai pelengkap demokrasi nescaya tentulah kita ini berada dalam darurat sehinggalah sekarang.

Malah, Suruhanjaya Reid sendiri menyebutkan bahawa ‘We must first take note of the existing emergency. We hope that it may have come to an end before the new Constitution comes into force .. – Para 173 [Kita mesti terlebih dahulu memperhatikan keadaan darurat yang sedia ada. Kami berharap ia akan berakhir sebelum Perlembagaan baru berkuatkuasa..]. Ini jelas menunjukkan Suruhanjaya Reid tidak bermaksud bahawa darurat ini pelengkap kepada demokrasi kerana dengan ayat yang jelas di atas mereka menghendaki darurat ini digunakan secara terbatas dan dalam ruang lingkup yang paling sempit.

Justeru, mengambil semangat demokrasi ada baiknya YDPA mengambil tindakan tegas terhadap suasana sekarang supaya darurat dapat ditamatkan segera. Tidak kiralah sama ada YDPA ingin menitahkan kepada PM untuk meletakkan jawatan atau melantik Mageran 2.0 atau ingin membuka semula Parlimen untuk memilih PM yang baharu. Pokoknya, darurat ini tidak membantu pun ke arah pengurangan kes Covid-19 kerana statistik pesakit Covid-19 terus meningkat.

Sumber :

COMMENTS

Wordpress (0)