Darurat adalah talian hayat politik Muhyiddin

Proklamasi darurat hingga Ogos akan memberi ruang kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyatukan kerajaan Perikatan Nasional beliau dengan mendapatkan sokongan daripada parti lain di negara ini.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi berkata Muhyiddin mungkin meminta sokongan parti komponen Pakatan Harapan seperti Amanah dan sekutunya, Warisan untuk memastikan kerajaannya utuh selepas pelaksanaan darurat tamat.

Beliau berkata darurat mungkin akan berlanjutan hingga Ogos, sambil menambah ini akan memberi banyak masa kepada perdana menteri sekarang untuk mengukuhkan sokongan beliau.

Beliau menambah PN telah kehilangan majoriti ketika Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menarik balik sokongannya terhadap gabungan yang berkuasa.

“Isu kerajaan tanpa majoriti yang jelas ini tidak timbul dengan proklamasi darurat diisytihar dan Parlimen ditangguhkan, bererti pembangkang tiada jalan untuk membuktikan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.”

“Secara potensinya, antara parti yang mungkin menjadi pilihan Muhyiddin adalah Amanah (yang mempunyai 11 kerusi) dan Warisan (lapan ahli Parlimen, termasuk untuk Labuan),” kata Awang kepada FMT.

Katanya, rasional di sebalik itu adalah Amanah adalah parti Melayu-Islam yang berkongsi prinsipnya dengan PAS, Umno dan juga PPBM.

Pada masa sama, katanya, Warisan bukan sebahagian dari PH dan PN tetapi perlu kekal kuat menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Akar umbi dalam Amanah kemungkinan akan menentang ini (bergabung dengan PN) kerana ia akan mengkhianati perjuangan mereka dan juga PH.

“Bagi Warisan, perjanjian dengan PN akan memastikan kerusi ketua menteri itu dikembalikan kepada parti itu tetapi Bumiputera bukan Islam (pemimpin dan penyokong) dalam parti itu akan menolak kerjasama sedemikian,” katanya.

Umno memberi tekanan kepada kerajaan PN untuk menggesa PRU diadakan sejak awal tahun ini, dengan wakil rakyat Padang Rengas, Nazri Aziz, menjadi Ahli Parlimen Umno terbaru menarik sokongannya terhadap Muhyiddin, semalam.

Penarikan sokongan daripada Nazri itu menyusul penarikan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub. Keputusan mereka itu bermakna kerajaan PN hanya mempunyai 110 Ahli Parlimen di bloknya dalam 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham (Malaysia), bagaimanapun, tidak bersependapat dengan Awang Azman, mengatakan Muhyiddin sebaliknya akan berusaha mengukuhkan partinya sendiri dengan bergantung pada peruntukan darurat untuk kuasa.

“Lebih sedikit orang yang mahu bekerja dengannya jika beliau tidak dapat mengendalikan krisis Covid-19 dan penerusan ekonomi. Enam bulan adalah masa yang lama.

Timbalan dekan Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok senada dengan Welsh, mengatakan keadaan darurat memberi Muhyiddin pelbagai kekuatan yang boleh beliau gunakan untuk menyatukan sokongan politiknya.

“Saya rasa beliau ada banyak pilihan dan, antara lain, akan terbuka untuk kemungkinan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

“Tetapi bagaimana (beliau guna kuasa sedemikian untuk satukan sokongan), kita belum pasti. Kita perlu melihat apakah ordinan yang akan diumumkan beliau dan melihat apakah ia memberi sebarang ‘kesan politik’,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/13/mana-satu-pilihan-muhyiddin-kawan-baru-atau-lagi-ramai-lawan/