DAP tawar khidmat guaman percuma bagi mereka yang didakwa kerana kritik kelemahan kerajaan PN

Pasukan guaman DAP Kebangsaan serta semua pasukan guaman negeri akan menawarkan khidmat guaman percuma bagi membela di mahkamah mereka yang dijadikan mangsa kerana mengkritik ketidakcekapan Kerajaan PN, kerana mendedahkan amalan dua dalam pematuhan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atau perniagaan yang disaman secara tidak adil akibat kekeliruan dan pusingan U dasar antara Kementerian. Contoh terbaik dari kekeliruan dan pusingan U dasar adalah keperluan untuk mendapatkan permit semasa PKP “total lockdown” dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengendalikan perniagaan.

Pada mulanya, MITI adalah pihak berkuasa melulus yang asal, kemudian Majlis Keselamatan Negara membatalkan kelulusan tersebut dan tiba-tiba berpatah semula kepada MITI dalam masa 24 jam. Lebih buruk lagi ialah ‘hotline’ dan laman web pada mulanya tidak dapat mengendalikan begitu banyak permohonan. Ini mengingatkan kita akan kegagalan sistem walaupun telah membelanjakan RM70 juta untuk perkakasan komputer dan sokongan perisian semasa pendaftaran atas talian bagi vaksin AstraZeneca.

DAP juga akan membela mereka yang dijadikan mangsa kerana mengkritik ketidakcekapan atau amalan dua darjat Kerajaan PN dalam melaksanakan PKP, seperti seorang peniaga Danny Ng dari Bentong yang menghadapi siasatan polis setelah dengan berani membuat kritikan terhadap Timbalan Menteri Perpaduan Nasional Ti Lian Ker dari MCA. DAP juga bersedia menawarkan apa-apa bantuan guaman yang diperlukan kepada wanita berani yang mengambil gambar Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya dalam apa yang kelihatan sebagai pandu uji pada 5 Jun di Juru Auto City, suatu aktiviti yang dilarang di bawah peraturan PKP ‘lockdown’.

Nini Siron mengatakan bahawa dia telah diserang oleh penyokong Menteri Besar, termasuk guru agama hinggalah mereka yang mempunyai hubungan politik. Nini begitu marah melihat bahawa ada orang masih melanggar SOP dan mengikuti nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka bagi mereka yang melanggar undang-undang. Ini adalah satu lagi contoh amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan MCO antara golongan VIP dan rakyat biasa yang akan menerima saman jika tidak patuh. Nini harus dipuji kerana kesedaran siviknya dan tidak patut difitnah oleh penyokong Menteri Besar Kedah.

Walaupun DAP fokus untuk mendukung Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dengan membantu rakyat untuk mendaftar atau memudahkan proses vaksinasi yang pantas dan lancar, kami turut khuatir terhadap peningkatan jumlah aduan dari rakyat biasa mengenai dakwaan wujudnya pengeluaran kompaun tanpa sebarang asas atau secara tidak adil. Mereka yang ingin membawa kes ke mahkamah atau memerlukan bantuan guaman boleh menghubungi pemimpin DAP negeri atau wakil rakyat kami.

Sumber :