Dakwaan jemaah umrah tak vaksin mengelirukan, data peribadi dimanipulasi?

Dakwaan jemaah umrah tak vaksin mengelirukan, data peribadi dimanipulasi? Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) tidak menolak kemungkinan berlaku manipulasi data peribadi termasuk MySejahtera selain penguatkuasaan lemah sehingga ada individu tidak divaksin terlepas ke luar negara, malah menunaikan umrah.

Presidennya, Razali Mohd Sham berkata, individu yang mahu ke luar negara wajib disemak status MySejahtera sama ada lengkap divaksin atau sebaliknya sebelum mereka dibenar berlepas termasuk termasuk mengerjakan umrah.

“Ia sebagai syarat dan SOP (prosedur operasi standard) yang wajib dipatuhi semua pihak termasuk pihak berkuasa dan agensi pelancongan.

“Sepatutnya kalau individu tiada vaksin, dia tidak dibenar keluar negara dan naik pesawat termasuk nak ke Arab Saudi mengerjakan umrah, macam mana perkara ini boleh terlepas, undang-undang jelas mengatakan mana-mana individu nak ke luar negara naik kapal terbang wajib vaksin paling tidak dua dos, kalau ada juga terlepas maknanya penguasaan lemah,” katanya kepada FMT

Dakwaan jemaah umrah tak vaksin mengelirukan, data peribadi dimanipulasi?
Razali Mohd Sham.

Razali berkata, setiap agensi pelancongan perlu menyemak syarat ditetapkan termasuk vaksinasi lengkap sebelum menawarkan pakej perjalanan, dan sekali lagi akan diperiksa di lapangan terbang oleh pihak berkuasa sebelum mereka berlepas.

Katanya, mengikut SOP ditetapkan mana-mana individu sebagai contoh mahu mengerjakan umrah walaupun mempunyai laporan perbuatan tidak boleh divaksin, dilarang ke Arab Saudi.

“Kalau tak vaksin, ada surat kesihatan pun, Arab Saudi tetap tak benarkan untuk buat umrah, jadi mereka yang keluar negara itu macam mana boleh dapat surat kebenaran adakah wujud manipulasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan rakyat menyaman pihak berkuasa dan agensi pelancongan jika terbukti mereka terlibat bersekongkol dan bertindak memanipulasi dokumen peribadi sehingga membolehkan individu tidak divaksin ke luar negara termasuk mengerjakan umrah.

“Kita cadang rakyat saman pihak berkuasa mereka yang jaga sempadan. Jadi jika ada pihak berkuasa termasuk ejen pelancongan terbukti ada terlibat, bersubahat menyeleweng data peribadi membenarkan mereka yang tak divaksin ke luar negara, wajib diambil tindakan, kita bimbang wujud sindiket sijil palsu, kena siasat segera,” katanya sambil menggesa pihak berkuasa dan agensi pelancongan lebih bertanggungjawab.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan 17 individu termasuk 10 warganegara yang dikesan dijangkiti varian Omicron selepas pulang ke Malaysia didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat mengapa warga tempatan yang dijangkiti varian Omicron itu tidak mempunyai rekod divaksinasi.

“Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom membabitkan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi,” kata Khairy.

Baca Juga : Setelah Khairy tunjuk MySejahtera, netizen pertikai tarikh dan no batch yang dipamer
Batu-batuan ini jika diketuk berbunyi seperti loceng, penduduk kehairanan
Tular ‘screenshot’ masih belum divaksin, ini jawapan KJ