Bekas perdana menteri Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana mendakwa salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.
Dalam catatan di Facebook, Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau membuat laporan berkenaan selepas menerima maklumat dan “bukti kukuh” bahawa pegawai yang terlibat dengan kes terhadapnya, serta “ahli politik tertentu” telah melakukan kesalahan berkaitan isu cukai yang sedang dihadapinya.
“Berdasarkan maklumat serta bukti kukuh saya terima, saya telah membuat laporan polis terhadap LHDN tengah hari ini sebab saya dimaklumkan secara sahih bahawa pegawai-pegawai terbabit serta ahli-ahli politik tertentu dipercayai dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM yang membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.
“Berhubung dengan itu juga, saya mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatan saya yang telahpun dikemukakan kepada mahkamah.
“Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan kepada mana-mana pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang,” katanya.
Najib berkata, beliau percaya polis akan menyiasat secara mendalam dan menegakkan keadilan terhadapnya berhubung kes itu.
Menjelaskan perkara itu, Najib berkata pegawai LHDN sendiri mengakui setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukannya dan tiada tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadapnya.
Katanya, perkara itu sudah tentu menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan dari arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas undang-undang malah ia membuang banyak masa terutama pada dirinya dan ia juga jelas satu penyalahgunaan kuasa.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/08/najib-buat-laporan-polis-terhadap-lhdn/