Covid-19 : Selangor tumpu didik rakyat, rancang tubuh sukarelawan kesihatan awam

Covid-19 : Selangor tumpu didik rakyat, rancang tubuh sukarelawan kesihatan awam

Kerajaan Selangor merancang membentuk pasukan sukarelawan kesihatan awam bagi mendidik masyarakat di negeri tersebut mengenai penghindaran penyakit berjangkit.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menangani penyakit berjangkit khususnya Covid-19 pada ketika ini.

Beliau yang turun padang ke Dewan Serbaguna Puchong Utama, di sini bagi memantau keadaan ujian saringan percuma Covid-19 berkata, pasukan tersebut akan membantu kerajaan untuk mengawasi rakyat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita akan menjadi negeri pertama untuk membentuk kumpulan ini yang akan melibatkan pakar-pakar kesihatan untuk mengetuai gerakan tersebut dan ia turut dibuka kepada masyarakat.

“Mereka juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau dan menegur individu yang didapati melanggar SOP ditetapkan,” katanya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Siti Mariah mengingatkan kepada rakyat Selangor supaya tidak marah apabila negeri tersebut sentiasa mencatatkan angka kes harian Covid-19 tertinggi.

Katanya, angka tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar pandemik di negeri tersebut kerana terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan.

Kita perlu faham bahawa angka itu bukanlah menunjukkan kita paling teruk kerana terdapat banyak aspek lain yang perlu dilihat seperti kadar kebolehjangkitan dan nisbah jumlah individu yang boleh dijangkiti melalui seorang pesakit Covid-19.

“Oleh itu, Selangor bukanlah negeri yang teratas dari segi kebolehjangkitan kerana kita perlu bandingkan angka tersebut dengan jumlah rakyat di negeri ini yang ramai iaitu 6.7 juta orang,” katanya.

Pada Sabtu, seramai 1,171 individu berkemungkinan positif Covid-19 selepas melakukan Saringan Komuniti Covid-19 percuma di daerah Gombak dan Hulu Langat sejak 8 Mei lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini sebanyak 14 kawasan di dua daerah itu telah melakukan saringan percuma berkenaan.

Menurutnya, kira-kira 20,000 individu di dua daerah terbabit hadir menjalani Ujian Saringan Covid-19 percuma yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor sehingga Khamis.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139929/BERITA/Nasional/Selangor-rancang-bentuk-sukarelawan-kesihatan-awam-didik-rakyat