Covid-19 : Sekolah di 18 daerah di Sarawak diarah tutup 14 hari

Semua sekolah di 18 daerah yang diletakkan dalam zon merah Covid-19 di Sarawak diarah tutup selama 14 hari mulai esok.

Arahan penutupan itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg pada sidang media penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, hari ini.

Abang Johari berkata, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mendapati berlakunya banyak jangkitan wabak itu di kawasan sekolah.

“Jangkitan itu boleh antaranya dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak, malah ada juga kes jangkitan yang dibawa oleh guru.

“Demi kesihatan anak-anak serta masyarakat keseluruhannya, kerajaan Sarawak memutuskan untuk menutup semua sekolah di daerah yang dikategorikan sebagai zon merah Covid-19,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 18 daripada 40 daerah di negeri itu dikategorikan sebagai zon merah, lima lagi zon jingga, zon kuning (12) dan zon hijau (5).

Daerah yang dikategorikan sebagai zon merah ialah Belaga, Kanowit, Selangau, Saratok, Subis, Matu, Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Zon jingga membabitkan Betong, Asajaya, Bukit Mabong, Sebauh, Sri Aman dan Marudi, manakala 12 daerah iaitu Pusa, Song, Bau, Kabong, Dalat, Daro, Lubok Antu, Tatau, Tanjung Manis, Pakan, Tebedu dan Limbang pula zon kuning.

Sementara Lawas, Telang Usan, Lundu dan Simunjan pula dikategorikan sebagai zon hijau selepas tiada kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/696533/sekolah-di-18-daerah-di-sarawak-tutup-14-hari