Veteran DAP, Lim Kit Siang memberi amaran jumlah kematian Covid-19 di Malaysia mungkin mengatasi China menjelang hujung minggu ini.
Katanya, perbezaan angka korban ketika ini hanya kira-kira 159 kematian dengan China mencatatkan 4,636 kematian berbanding 4,477 kematian di Malaysia setakat semalam.
“Malaysia turut mencatatkan satu lagi rekod meragukan dalam pandemik Covid-19 semalam, melepasi 700,000 dalam keseluruhan kes Covid-19, yang kini berjumlah 701,019.
“Hari ini, kita akan membuat satu lagi catatan meragukan apabila kedudukan Covid-19 kita bertambah buruk di tangga ke-37, menewaskan Switzerland, antara negara di dunia berdasarkan jumlah kes Covid-19 sejak pandemik itu bermula,” kata Lim dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu membandingkannya dengan November lalu, ketika Malaysia di tangga ke-85.
“Pun begitu, masih ada orang mendakwa kita memenangi perang menentang pandemik Covid-19.
“Tidak kira makro atau mikro, tiada pertikaian sama sekali bahawa kita kalah dalam perang menentang pandemik Covid-19 dengan pengorbanan besar bukan hanya dari segi nyawa manusia, tetapi juga kemusnahan terhadap ekonomi dan masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 701,019 kes Covid-19 dengan 62,918 kes aktif dan 880 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Lim berkata, perdana menteri dan Kabinetnya “tidak seiring” dan enggan menerima kenyataan bahawa darurat berterusan bukan penyelesaian untuk membendung pandemik Covid-19.
Beliau mengulangi gesaannya supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bersidang “secepat mungkin” untuk memerangi Covid-19 dan mengembalikan kepercayaan orang ramai.
Beliau menggesa Kabinet membentang rancangan memerangi krisis kesihatan yang semakin teruk itu dalam mesyuarat mingguannya esok.