Covid-19 : Kemudahan kesihatan Kelantan tidak mampu bertahan lama

Oleh MHDAILY

Dalam keadaan semasa Covid-19 di Kelantan, jabatan kesihatan negeri itu menjangkakan semua kemudahan yang ada mampu bertahan antara empat hingga lapan minggu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Husin berkata ketika ini jumlah pesakit Covid-19 di Kelantan menunjukkan peningkatan melebihi 100 kes setiap hari dan ia amat membimbangkan.

Katanya jika kes Covid-19 di negeri terus menunjukkan trend peningkatan, jabatan kesihatan bimbang kadar kebolehjangkitan juga semakin bertambah, sekali gus kemudahan yang ada tidak mampu untuk menampung keperluan pesakit mendapatkan rawatan.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Menurut Zaini ketika ini pesakit kategori satu dan dua yang tidak berisiko kita benarkan kuarantin di rumah, manakala yang lain kuarantin di hospital agar kemudahan yang ada mencukupi untuk menangani kes-kes berkaitan.

“Dengan fasiliti yang ada kini, kami mampu bertahan untuk tempoh empat sehingga lapan minggu,” katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Zaini menambah bagi menampung pesakit Covid-19 ketika ini lapan hospital serta empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dibuka iaitu tiga di Kota Bharu dan satu di Gua Musang.

Menurut Zaini PKRC di Kota Bharu terletak di Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Semalam, Kelantan merekodkan 161 kes baru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan pesakit positif di negeri itu menjadi 2,683 orang.

Mengulas berhubung kekangan kakitangan bertugas, Zaini menambah, petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Kelantan setakat ini masih mencukupi.

Namun katanya jika penularan menjadi tidak terkawal, jabatan kesihatan akan memanggil kembali kakitangan yang bertugas di luar Kelantan untuk berkhidmat semula di negeri itu.

“Bagaimanapun, setakat ini, kakitangan yang bertugas bagi menangani kes Covid-19 masih mencukupi,” katanya. –MK