Covid-19 : Kelantan boleh cecah 1,000 kes sehari mulai Jun – Exco

Kes positif Covid-19 di Kelantan dijangka boleh mencecah 1,000 kes sehari mulai bulan depan, berikutan nisbah jangkitan wabak itu berbanding jumlah penduduk negeri ini yang sangat tinggi sekarang.

EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, berkata selain nisbah jangkitan, kegagalan pematuhan SOP dalam tempoh sambutan Aidilfitri lalu mula menunjukkan kesan apabila kes positif harian tinggi dicatat dalam tempoh beberapa lepas.

“Nisbah jangkitan berbanding penduduk sangat tinggi, sebagai contoh Kota Bharu mencatat 583 kes daripada 100,000 penduduk pada masa ini.

“Kita jangka kes akan naik lagi kerana wabak Covid-19 sudah berada dalam komuniti secara besar-besaran. Sebelum ini kita sudah ingatkan kalau tidak patuhi SOP, selepas raya kes dijangka naik, jangkaan itu tepat. Lihat pada trend sekarang, Jun ini kes boleh mencecah hingga 1,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim.

Semalam, Kelantan mencatat 612 kes positif COVID-19 dengan 7,869 kes aktif.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/31/kes-covid-19-di-kelantan-boleh-cecah-1000-sehari-mulai-jun-kata-exco/