Covid-19 dianggap hanya ‘selsema teruk’ lepas dapat vaksin.Seorang ahli epidemiologi terkenal menyatakan bahawa Covid-19 kini dianggap sebagai ‘selesema teruk’ kerana keberkesanan vaksin selepas data menunjukkan penghidapnya hanya mengalami simptom ringan walaupun ketika peningkatan jumlah kes, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Kajian simptom Covid-19 oleh King’s College London menganggarkan terdapat 25,210 kes harian baharu di Britain pada minggu lalu dan jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 31 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Terdapat peningkatan 50 peratus bagi jumlah mereka yang menerima dos pertama atau dua dos vaksin lengkap, namun dalam kebanyakan kes, simptom yang dilaporkan adalah ringan.
Lebih 80 peratus jangkitan pula adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.
Professor Tim Spector yang mengetuai kajian pengawasan Covid-19 terbesar Britain berkata, mereka yang menghidap Covid-19 selepas divaksin mengalami simptom ringan sama seperti demam dan bersin yang merupakan simptom baharu.
“Biarpun kadar jangkitan Covid-19 adalah tinggi, keberkesanan vaksin amat meyakinkan dalam melindungi mereka yang berisiko dengan kadar kematian adalah rendah.
“Data kajian Covid-19 ZOE Global Limited menunjukkan simptom adalah lebih ringan dan menyamai selesema teruk dengan gejala utama hidung berair, sakit kepala dan sakit tekak.
“Bersin juga dikategorikan sebagai gejala dalam kalangan mereka diberi vaksin separa dan sepenuhnya,” katanya.
Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/02/vaksin-berkesan-pakar-kini-sifatkan-covid-19-hanya-demam-biasa/