Covid-19 : Bahrain tak benar rakyat Malaysia masuk negara itu

Covid-19 : Bahrain tak benar rakyat Malaysia masuk negara itu

Covid-19 : Bahrain tak benar rakyat Malaysia masuk negara itu. Malaysia dan Indonesia diletakkan bersama 16 negara lain dalam senarai merah larangan kemasukan oleh pemerintah Bahrain bermula 13 Julai 2021, susulan peningkatan kes Covid-19 dicatatkan negara berkenaan.

“Pihak berkuasa Bahrain mengenakan sekatan kemasukan terhadap pengembara asing dari 16 negara baharu yang dimasukkan dalam ‘senarai merah’ mulai 13 Julai 2021, sehingga notis baharu dikeluarkan susulan penularan Covid-19,” kata kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara itu.

Negara baharu lain yang disenaraikan itu ialah Republik Dominica, Iran, Iraq, Mexico, Mongolia, Mozambique, Myanmar, Namibia, Panama, Philippines, South Africa, Tunisia, Uganda, dan Zimbabwe.

Bangladesh, India, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, dan Vietnam lebih awal diletak dalam senarai merah larangan kemasukan ke negara itu.

Covid-19

“Rakyat asing bukan penduduk yang tiba dari negara-negara disenaraikan itu, termasuk mereka yang transit, dalam tempoh 14 hari adalah dilarang memasuki Bahrain.

“Hanya rakyat Bahrain dan penduduk yang dibenarkan sahaja boleh masuk ke Bahrain dari negara-negara berkenaan,” kata kenyataan itu.

Bahrain berkata semua prosedur yang diumumkan sebelum ini berkaitan ketibaan dari negara-negara berkenaan juga akan tetap berkuat kuasa.

Semua pengembara berusia enam tahun ke atas, sama ada mereka telah menerima vaksin atau tidak, termasuk keperluan untuk mengemukakan ujian PCR negatif yang disahkan dengan kod QR 48 jam sebelum penerbangan mereka dan melakukan ujian lain semasa ketibaan.

Mereka juga dikehendaki menjalani kuarantin sekurang-kurangnya 10 hari di rumah masing-masing atau hotel yang diluluskan kerajaan,

Pengembara asing dari negara yang tidak disenaraikan itu, 14 hari sebelum ketibaan, boleh mengemukakan bukti mereka telah divaksin di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Singapura atau Kanada dikecualikan daripada kuarantin, tetap tetap dikehendaki menjalani ujian PCR.

“Pengembara yang boleh membuktikan mereka telah menerima vaksin Covid-19 di Bahrain atau mana-mana negara Majlis Kerjasama Teluk dikecualikan daripada kuarantin dan ujian PCR,” kata kenyataan itu.

Malaysia semalam merekodkan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebanyak 11,079 kes, tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu. Dalam tempoh itu 125 kematian turut dilaporkan.

Indonesia pula yang teruk dilanda pandemik itu merekodkan kes tertinggi sejak Mac 2020 dengan 47,899 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada lebih 2.6 juta.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia dalam kenyataan turut memaklumkan 864 kematian dicatatkan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 68,219 kematian sejak kes pertama Covid-19 dikesan Mac tahun lalu.

Berita Penuh : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/covid-19-rakyat-malaysia-indonesia-tak-dibenar-masuk-bahrain/

Jika Terlepas: Sekarang bukan masa untuk berpolitik – TMJ