Corak perbelanjaan isi rumah telah berubah, tumpu perbelanjaan makanan dan keperluan asas

Corak perbelanjaan isi rumah telah berubah, tumpu perbelanjaan makanan dan keperluan asas

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia kini mencatatkan 83.3 peratus, susut 16.7 peratus dalam tempoh satu dekad, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 12 kumpulan utama, dua kumpulan barang dan perkhidmatan menunjukkan kuasa beli melebihi 100 peratus iaitu kumpulan Komunikasi (102.6 peratus) dan Pakaian dan Kasut (107.0 peratus).

“Ini menggambarkan isi rumah mampu untuk menikmati perkhidmatan komunikasi, pakaian dan kasut yang sama pada harga lebih murah berbanding 10 tahun yang lalu,” katanya.

Sementara itu, kumpulan minuman alkohol dan tembakau merekodkan kumpulan yang paling tinggi mengalami penyusutan nilai kuasa beli sebanyak 40.6 peratus diikuti kumpulan makanan dan minuman (25.8 peratus) dan restoran dan hotel (24.5 peratus).

Menurut Mohd Uzir inflasi bandar pada tahun 2020 bergerak lebih laju berbanding inflasi luar bandar, ini memberi maksud bahawa perubahan harga barangan di bandar meningkat dengan lebih cepat berbanding luar bandar.

Jurang inflasi antara bandar dan luar bandar didapati semakin melebar mulai tahun 2014 dan terus meningkat sehingga 3.4 mata indeks pada tahun 2020, katanya.

Dia berkata pada masa yang sama, kuasa beli mengikut kumpulan utama di kawasan bandar adalah lebih rendah (17.1 peratus) berbanding kawasan luar bandar (14.7 peratus).

“Kumpulan utama yang mencatatkan kuasa beli isi rumah lebih rendah di kawasan bandar ialah kesihatan (20.1 peratus), restoran dan hotel (25.3 peratus), makanan dan minuman (27.0 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (39.8 peratus).

“Kumpulan yang sama ini juga menyumbang kepada kuasa beli isi rumah yang lebih rendah di kawasan luar bandar yang masing-masing mencatatkan 16.9 peratus, 20.1 peratus, 21.6 peratus dan 42.7 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut kedudukan inflasi tahun 2020, Mohd Uzir berkata pandemik Covid-19 yang berlaku pada 2020 secara tidak langsung menyaksikan Malaysia mencatatkan inflasi negatif iaitu 1.2 peratus.

Antara kumpulan yang mengalami penurunan harga yang ketara adalah pengangkutan (- 10.0 peratus), diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (-1.7 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.8 peratus).

Bagaimanapun, kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan menunjukkan peningkatan dengan 2.7 peratus diikuti oleh indeks makanan dan minuman (1.3 peratus) dan komunikasi (1.1 peratus).

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 1.9 peratus bagi 2020 berbanding 2019, penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-1.9 peratus) diikuti oleh Sabah dan Labuan (-1.9 peratus), Kedah dan Perlis (-1.8 peratus) dan Sarawak (-1.8 peratus).

Walaupun kedudukan inflasi 2020 adalah negatif, inflasi bagi makanan dan minuman sentiasa berada di jajaran yang positif (peningkatan).

Inflasi kumpulan ini berada pada paras 1.3 peratus, ia merupakan kadar inflasi paling rendah pernah dicatatkan dalam tempoh satu dekad, inflasi tertinggi bagi kumpulan ini adalah pada tahun 2011 dengan kadar 4.8 peratus.

Secara umumnya, tahun 2020 telah mengubah lanskap perbelanjaan isi rumah yang memberi keutamaan kepada perbelanjaan makanan dan keperluan asas.

Laporan ini turut mengetengahkan dapatan inflasi kumpulan keperluan dan bukan keperluan.

“Sepanjang tempoh 2011 hingga 2020, inflasi Malaysia banyak dipengaruhi oleh inflasi kumpulan keperluan. Pada tahun 2020, penurunan inflasi kumpulan keperluan (-1.9 peratus) lebih ketara berbanding inflasi keseluruhan (-1.2 peratus),” katanya

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/576129