Cipta sejarah, gadis muda ini layak ajar tahfiz di seluruh dunia

Cipta sejarah gadis muda ini layak ajar tahfiz di seluruh dunia

Cipta sejarah, gadis muda ini layak ajar tahfiz di seluruh dunia. Melalui keupayaan luar biasanya yang kini telah memiliki sanad tahfiz 30 juzuk al-Quran, Iman Asri yang telah meraih gelaran Syahadah Ula al-Fateh telah melayakkan dirinya untuk pengajar tahfiz di mana-mana negara di seluruh dunia.

Pencapaian gadis yang berusia 24 tahun itu ternyata telah memberikan kegembiraan besar kepada kedua-dua ibu bapanya.

Iman telah dinobatkan dengan gelaran tersebut selepas berjaya menduduki ujian khatam al-Quran dalam tempoh 17 jam dengan kurang 10 kesalahan dalam bacaan.

Menerusi ujian tersebut, terdapat empat pemeriksa yang menyemak bacaan beliau.

Menurut Perunding Maahad Tahfiz al-Fateh, Prof Dr. Zainur Rashid Zainuddin, menerusi Facebooknya baru-baru ini, Iman merupakan antara individu yang berjaya lulus ujian tersebut pada peringkat remaja.

Cipta sejarah, gadis muda ini layak ajar tahfiz di seluruh dunia

“Tahniah Iman (Asri). Sejak dahulu saya kenali beliau sebagai anak remaja yang hebat.

“Kini, beliau telah memiliki sanad tahfiz 30 juzuk al-Quran yang melayakkannya untuk mengajar tahfiz di mana-mana negara di seluruh dunia.

“Beliau juga memperolehi pangkat mumtaz iaitu 90 peratus dalam sanad hafazan 30 juzuk,” jelasnya.

Di samping itu, Iman juga merupakan bekas penyelia Ma’ahad Tahfiz al – Fateh, Batang Kali, Selangor dan kini, beliau telah menjadi jurulatih kepada lima orang pelajar Syahadah Ula di Ma’ahad Tahfiz Al- Fateh, Batang Kali.

Apa yang dimaksudkan dengan Syahadah Ula dan bagaimana cara untuk mencapainya?

Menurut sumber daripada Sinar Plus, penganugerahan Syahadah terbahagi kepada tiga kategori.

Peringkat tertinggi adalah Syahadah Ula atau dikenali juga dengan nama lain iaitu, Syahadah Ulya.

Sebelum mencapai tahap tertinggi ini, terlebih dahulu para penghafaz al-Quran ini perlu menempuhi Syahadah Thalisah dan Syahadah Thaniah.

Semasa di peringkat Syahadah Thalisah, para penghafaz al-Quran perlu mengambil masa tiga hari untuk khatam, iaitu satu hari diperuntukkan untuk menghabiskan 10 juzuk al–Quran.

Sementara peringkat seterusnya adalah Syahadah Thaniah.

Pada peringkat ini, para pelajar itu perlu membaca 15 juzuk al-Quran dalam sehari.

Apabila pelajar itu berjaya lulus kedua-dua peringkat sebelum ini, barulah mereka layak untuk menduduki ujian kelayakan Syahadah Ula.

Untuk mendapatkan gelaran ini, difahamkan hafalan 30 juzuk al-Quran pelajar akan disemak kira-kira 17 jam oleh empat orang panel penguji.

Kualiti hafalan untuk mendapatkan gelaran ini sangat tinggi iaitu hafalan pelajar tidak memerlukan sepuluh pembetulan atau lebih dalam 30 juzuk semakan hafazannya.

Selain itu, aspek tajwid dan bacaan juga perlu diambil kira. Para penghafal al-Quran juga tidak boleh silap lebih daripada sepuluh kali bagi setiap juzuk semakan hafazan.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Iman Asri atas kejayaan beliau mendapat gelaran ‘Syahadah Ula al-Fateh’.

Semoga negara kita dapat merevolusikan bidang hafazan dan melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran pada masa yang akan datang.

BACA:

Apa dah jadi, keputusan kes penghakiman Rosmah pula bocor

‘Henti tabur fitnah Rafizi’ – Dr Latiff

Dedah isu LCS, Rafizi cabar Dr. Latiff saman dirinya

CATEGORIES