Cara unik orang dulu-dulu tengok ‘jam’ nak buka puasa, nostalgia habis!

Cara unik orang dulu-dulu tengok ‘jam’ nak buka puasa, nostalgia habis! Seorang aktivis budaya dan pesara guru mengimbau nostalgia amalan tradisi terdahulu sekitar 1950-an dan 1960-an yang mana umat Islam pada ketika itu perlu melihat urat daun untuk berbuka puasa di bulan Ramadan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Omar Azman Mohamad, 81, yang merupakan anak jati Kampung Pantai, Chenor Seberang itu berkata, pada waktu tersebut, tidak semua rumah mempunyai jam dan radio untuk mendengar azan maghrib.

Jadi katanya, penduduk menggunakan kaedah celik akal yang mana petua orang tua-tua terdahulu, jika tidak kelihatan urat daun dalam rembang senja itu, baharu boleh berbuka puasa.

“Pada era tersebut, jarak rumah dari rumah jiran agak jauh, sementelah pula lokasi kampung di seberang Sungai Pahang bunyi tabuh dipalu dari masjid berdekatan pun tidak kedengaran.

“Saya masih ingat betapa meriahnya bulan Ramadan dan hari raya pada 1950-an dan 1960-an yang mana ia jauh berbeza dengan abad milenium ini.

“Sebagai budak kampung yang tinggal di Kampung Pantai Chenor, saya masih ingat jika mahu berbuka puasa dengan air batu terpaksa menyeberang sungai Pahang ke Pekan Chenor berkayuh sampan atau motor menggunakan enjin sangkut,” katanya di sini semalam.

Cara unik orang dulu-dulu tengok 'jam' nak buka puasa, nostalgia habis!

Bercerita lanjut, Omar Azman berkata, selepas berbuka puasa dan solat, anak muda khususnya bergegas ke Sungai Pahang untuk mandi-manda dan semakin meriah ketika bulan purnama.

“Kemeriahan Ramadan semakin terasa pada malam tujuh likur yang mana masing-masing pasang pelita di keliling rumah dan panjut daripada daun kelapa untuk menerangi jalan. Saya juga masih menyimpan koleksi kesayangan iaitu gambar sumbangan rakan tentang kemeriahan menyambut Ramadan dan hari raya era 1950-an dan 1960-an,” katanya.

Menurutnya, walaupun era berkenaan tidak sehebat sekarang, namun komuniti kampung waktu itu seronok menjalani ibadah puasa dan berhari raya.

Beliau bersyukur dalam usianya 81 tahun masih mempunyai kudrat untuk berpuasa, memandu kereta dan melakukan aktiviti riadah tanpa masalah.

Omar Azman turut menasihatkan generasi muda supaya mengamalkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi panduan sebagai rakyat bertanggungjawab.

“Orang muda jangan terikut-ikut dengan provokasi pihak tertentu yang ada agenda merobohkan tamadun Melayu yang dikecapi sekarang,” katanya. – UTUSAN

TONTON:

BACA:

Dah usia 111 tahun tapi masih gagah berpuasa, warga emas ini jadi perhatian

Kes Bella : TMJ persoal mana ahli politik Malaysia, ada kaitan dengan rumah bonda?

Kucing makan sambil keluar air mata raih perhatian netizen, kesiannya lah..

CATEGORIES