Calon PRN Sarawak akan diputuskan oleh PN, kata Zuraida

Calon PRN Sarawak akan diputuskan oleh PN, kata Zuraida

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan parti itu tetap menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPT) itu berkata, sebarang calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Kita sokong kerajaan GPS di Sarawak, tapi dari segi calon untuk PRN negeri itu kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi (PN),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Kuala Langatdi sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, calon yang akan bertanding dalam PRN Sarawak hanya terdiri daripada pemimpin komponen GPS.

Abdul Karim membuat kenyataan itu merujuk kepada kenyataan Zuraida bahawa Bersatu akan bertanding pada PRN12 menerusi tiket GPS.

Abdul Karim menjelaskan, GPS sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menjawab kenyataan itu, Zuraida berpendapat mana-mana parti dalam PN mempunyai peluang untuk meletakkan calon di PRN Sarawak.

“Apa yang saya cuba sampaikan, kami datang dari Bersatu dan apa-apa parti pun ada peluang untuk bertanding, itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, tiada perkembangan mengenai proses tuntutan saman RM10 juta PKR terhadap beliau.

Zuraida berkata, pihaknya telah menfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu untuk kali kedua dengan alasan tuntutan itu bertentangan dengan undang-undang.

“Kita telah hantar afidavit di peringkat kita dan mereka telah berikan balasan, dan kita hantar lagi sekali afidavit dan kami masih tunggu respon.

“Setakat ini mereka hanya saman saya seorang, yang lain tidak dibuat lagi. Mereka cuma buat ujikaji kepada saya sahaja,” katanya.

Pada 28 September lalu, PKR memfailkan saman RM10 juta di Mahkamah Kuala Lumpur terhadap Ahli Parlimen Ampang itu berikutan tindakannya melompat parti.

Parti itu menfailkan tuntutan tersebut selepas Zuraida tidak memberi sebarang jawapan selepas surat tuntutan dikirimkan kepadanya pada 7 Ogos tahun lalu.

Zuraida bersama 11 anggota Parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari tahun lalu untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Semua anggota Parlimen PKR telah menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum 2018 dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/04/15/calon-prn-sarawak-diputuskan-kepimpinan-tertinggi-pn-kata-zuraida/