Cadang majikan beli vaksin untuk pekerja, MTUC bidas cadangan Selangor

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat kaedah pemberian vaksin secara percuma oleh kerajaan adalah kaedah terbaik berbanding meminta majikan membelinya untuk diberi kepada pekerja.

Timbalan Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, walaupun cadangan supaya majikan memberi sendiri vaksin satu langkah baik dalam membendung penularan Covid-19, namun bukan semua majikan mampu berbuat demikian.

“Tindakan Kerajaan Selangor ini adalah salah satu pilihan yang ada kini memandangkan Selangor mencatatkan kes harian yang tinggi setiap hari dan pada masa yang sama sektor ekonomi banyak berada di Lembah Klang terutamanya di negeri Selangor,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ia tindakan yang proaktif, tetapi bukan kaedah terbaik kerana bergantung kepada kemampuan majikan di mana bagi syarikat besar atau multinasional mungkin berkemampuan untuk membeli vaksin tetapi bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME) sudah tentu tiada kemampuan tetapi perlu beroperasi demi kelangsungan syarikat serta pekerja.

“Pembelian vaksin oleh majikan ini tidak memberi manfaat secara tuntas terhadap pekerja dalam sektor ekonomi kerana ia bergantung kepada kemampuan majikan, dan MTUC melihat kekangan yang akan dihadapi adalah kos pembelian vaksin tersebut yang mana mungkin akan membebankan majikan syarikat bertaraf SME,” katanya.

Katanya, MTUC juga bimbang akan ada majikan mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran kepada pekerja, selepas mereka bersetuju membeli vaksin.

“MTUC sama sekali tidak bersetuju sekiranya ada mana-mana majikan yang membeli vaksin ini mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran pengambilan vaksin ini terhadap pekerja.

“Oleh yang demikian, MTUC menggesa kerajaan dapat mempertimbangkan agar pemberian vaksin ini perlu disegerakan dengan memberi keutamaan kepada sektor ekonomi yang berada dalam zon merah terutamanya di Lembah Klang,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/19/saran-majikan-beli-vaksin-bukan-kaedah-terbaik-kata-mtuc/