Cabaran pujuk orang asli suntik vaksin, takut mati jadi alasan paling popular

Cabaran pujuk orang asli suntik vaksin, takut mati jadi alasan paling popular

Takut mati adalah antara alasan utama masyarakat Orang Asli di empat buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di sini menolak suntikan vaksin Covid-19.

Empat buah kampung Orang Asli di daerah ini yang rata-rata penduduk didapati menolak suntikan vaksin Covid-19 ialah Kampung Sungai Sekin, Kampung Sungai Garam, Kampung Paya Keladi dan Kampung Telok Gunung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, hasil pemantauan dan ziarahnya menerusi program Padang Tengku Menyapa sempena kempen pendaftaran imunisasi Covid-19 mendapati rata-rata penduduk enggan mengambil suntikan tersebut.

“Alasan yang saya terima macam tidak masuk akal iaitu takut mati yang mana hampir kesemua ketua isi rumah yang ditemui memberikan alasan tersebut.

“Sekiranya semua ketua keluarga berkenaan menolak vaksin bermakna kira-kira 300 orang daripada keseluruhan 8,000 penduduk Orang Asli kawasan Padang Tengku enggan disuntik vaksin,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mustapa usaha memujuk masyarakat Orang Asli terbabit dilakukan berterusan yang mana beliau berharap pakar psikologi daripada Jabatan Kesihatan akan turut membantu memujuk masyarakat Orang Asli.

“Kita berdepan keadaan amat sukar untuk menyakinkan masyarakat minoriti etnik Bateq ini yang masih terikat dengan budaya turun-temurun di samping amalan berkaitan kepercayaan kepada alam sekitar dan sebagainya.

“Setakat ini tiada lagi laporan penduduk Orang Asli di kawasan Padang Tengku dijangkiti wabak ini dan usaha memujuk mereka akan diteruskan bagi mencegah penularan wabak ini ke kampung Orang Asli pada masa akan datang,”katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan dicadang mewujudkan peraturan bagi mewajibkan rakyat mengambil vaksin khususnya di kawasan yang terdapat penularan kes serta di kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) termasuklah di perkampungan Orang Asli di negara ini.

“Kalau ada peraturan yang boleh dikenakan kompaun kepada penduduk yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan alasan untuk membendung penularan wabak tersebut, mengapa pula tidak boleh digubal peraturan atau SOP wajib penduduk berkenaan mengambil vaksin atas alasan yang sama,” ujarnya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/06/11/takut-mati-alasan-orang-asli-tolak-vaksin/