Bursa Malaysia ditutup rendah, bursa serantau trend menaik

Bursa Malaysia ditutup rendah, bursa serantau trend menaik

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini walaupun kebanyakan bursa serantau yang lain mempamerkan trend menaik.

Ini berikutan langkah Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang sekali gus mengekang kehendak risiko dalam kalangan pelabur di bursa tempatan.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 9.05 mata untuk mengakhiri urus niaga petang ini pada 1,555.71 daripada 1,564.76 pada petang Rabu.

Bursa Malaysia

Indeks utama yang dibuka 1.2 mata lebih tinggi pada 1,565.96 pagi ini, berlegar antara 1,554.15 dan 1,567.59 sepanjang sesi urus niaga.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mendahului kaunter untung dengan 917 berbalas 188 manakala 373 kaunter tidak berubah, 735 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot sedikit kepada 5.21 bilion unit bernilai RM3.03 bilion hari ini daripada 5.22 bilion unit bernilai RM2.78 bilion semalam.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata indeks FBM KLCI ditutup 0.6 peratus lebih rendah di tengah-tengah kebimbangan mengenai tinjauan ekonomi yang telah disemak semula serta kegiatan penjualan membabitkan kaunter sarung tangan getah.

Beliau berkata, Hartalega dan Top Glove menduduki tempat teratas kaunter paling rugi dalam kalangan 30 kaunter indeks, masing-masing susut 4.1 peratus dan 2.3 peratus selepas pemberian dos vaksinasi harian di dalam negara meningkat kepada 252,773 dos pada 23 Jun daripada 250,529 dos hari sebelumnya.

“Sentimen keseluruhan terus tertekan kerana masih tiada tanda-tanda kes COVID-19 baharu akan mereda dengan kes mencecah 5,841 hari ini – lebih tinggi daripada 5,244 kes yang direkodkan semalam.

“Namun demikian, aktiviti penjualan ekoran semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hari ini memungkinkan kemunculan beberapa aktiviti belian selepas harga saham menjadi murah,” katanya.

Adam berkata, kebimbangan mengenai tekanan inflasi muncul di pasaran berikutan kenyataan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa inflasi yang tinggi di negara itu dapat bertahan lebih lama daripada jangkaan, sehari selepas pengerusi Fed, Jerome Powell meyakinkan bahawa tekanan harga adalah terkawal.

Berdasarkan sektoral, indeks Tenaga Bursa Malaysia mencatat penurunan tertinggi dalam kalangan sektor, menyusut 1.5 peratus walaupun harga minyak Brent mencecah AS$75 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank turun satu sen kepada RM4.18, Tenaga susut enam sen kepada RM9.87, IHH kerugian 11 sen kepada RM5.61, sementara Maybank dan PetChem masing-masing tidak berubah pada RM8.20 dan RM8.00.

Bagi saham aktif pula, Serba Dinamik turun enam sen kepada 53.5 sen, Fintec dan DNex masing-masing jatuh setengah sen kepada tiga sen dan 76 sen, KNM lebih rendah 1.5 sen kepada 16.5 sen, sementara MMAG menambah setengah sen 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 84.03 mata pada 11,325.64, Indeks FBMT 100 susut 71.39 mata kepada 11,032.78, FBM ACE jatuh 145.27 mata kepada 7,354.32, Indeks FBM Emas Syariah merosot 134.59 mata kepada 12,367.62, sementara FBM 70 kerugian 123.34 mata kepada 14,664.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.72 mata kepada 15,291.51, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.99 mata kepada 187.14, dan Indeks Perladangan turun 11.54 mata kepada 6,517.07.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.37 bilion saham bernilai RM2.62 bilion daripada 3.08 bilion saham bernilai RM2.18 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 297.64 juta unit bernilai RM26.64 juta daripada 340.14 juta unit bernilai RM33.41 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 1.53 bilion saham bernilai RM374.56 juta daripada 1.80 bilion saham bernilai RM571.35 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 533.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (863.57 bilion), pembinaan (198.1 juta), teknologi (430.44 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (84.21 juta), hartanah (294.8 juta), perladangan (36.07 juta), REIT (5.69 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (707.27 juta), penjagaan kesihatan (64.18 juta), telekomunikasi dan media (72.89 juta), pengangkutan dan logistik (55.51 juta) dan utiliti (28.37 juta).

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2021/06/831759/bursa-malaysia-ditutup-rendah