Bukan sebab Pas kuat di Kelantan, tetapi pembangkang terlalu lemah

Bukan sebab Pas kuat di Kelantan, tetapi pembangkang terlalu lemah.Sandaran Dr Mazlan untuk berpandangan demikian antaranya kerana di negeri itu kekuatan pembangkang “leweh” (lemah).

Iya, jika ditanya keadaan di Kelantan hari ini kekuatan pembangkang (khasnya PH) langsung tidak ada, bahkan pembangkang tidak menyerlah, situasi ini memberi peluang untuk Pas terus menguasai negeri Tok Kenali itu.

Menurut Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, meskipun prestasi Pas di peringkat persekutuan tampak terumbang ambing, tetapi tidak di Kelantan, namun itu tidak memberi petunjuk negeri itu akan terlepas dari genggam Pas. Sebabnya kerana pembangkang lemah. Selebihnya Dr Mazlan turut mengambil kira sikap kedaerahan orang Kelantan.

Memetik ulasan beliau, faktor utama kelamahan pembangkang iaitu PH untuk memberi cabaran kepada Pas. Memang kekuatan PH di Kelantan hari ini boleh dianggap tidur atau demam yang belum kebah apabila ia dipimpin oleh mereka yang terkena “taun”. Sementara Umno pula masih berbelah bahagi sama ada bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya.

Umno Kelantan bercemperian antara satu sama lain kerana ada yang mahu meneruskan kerajsama dengan Pas, walaupun Pas sudah “meludahinya”, dan ada yang mengambil sikap macam pacat tidur bawah daun kering. Mereka akan bangun bila hujan dan ada bau wap darah. Tindakan sebegitu lewat dan merugikan.

Bukan sebab Pas kuat di Kelantan, tetapi pembangkang terlalu lemah

Bagaimana pun, menurut Mazlan keadaan itu mungkin berubah sekiranya PH bekerjasama dengan Umno untuk lawan Pas secara satu lawan satu. Pun begitu ujarnya peluang itu masih kelam kabut, kerana Umno masih bingung kelu untuk membuat keputusan dan masih mengimpikan Pas akan pulang semula kepada mereka setelah sudah berjalan sama dengan Bersatu.

Apa disebut Mazlan itu benar, tetapi masih ada sudut-sudut lain yang juga perlu diberi perhatian untuk menjamin apakah Pas masih menguasai Kelantan selepas Piraum ke-15 atau tidak. Misalnya sikap kedaerahan orang Kelantan tidak merupakan tikit untuk Pas selamat. Orang Kelantan kini sudah berubah dan mula berfikiran secara global.

Juga ada beberapa sisi yang menjadi faktor yang mungkin tidak dinilai sama oleh Mazlan ketika membuat andaian itu dimana beliau hanya melihat kepada kelemahan pembangkang semata-mata, tetapi tidak merumuskan masalah atau kelemahan fatal kerajaan Kelantan.

Seperti mana disebut beliau, tidak ada pembangunan berimpak besar di Kelantan, seperti jalan raya dua lorong dan sebagainya serta masih ada kepincangan dan kelemahan berterusan Pas sebagai kerajaan Kelantan. Betul kecacatan itu sangat nyata dan jelas dan seolah-olah kerajaan Kelantan tidak ada idea untuk menanganinya. Sebenarnya kelemahan dan ketempangan kerajaan Kelantan bukan terbatas disitu sahaja.

Misalnya masalah sosial, pengurusan alam sekitar yang menyumbang kemusnahan alam begitu teruk sehingga mengakibat berlaku banjir di luar dugaan, adalah kelemahan jelas kerajaan Kelantan. Dari segi moral sebuah kerajaan kecacatan dan masalah ini sangat mencengkam maruah kerajaan sekaligus memalukan rakyat Kelantan khasnya yang memangkah Pas.

Keadaan itu ditambah lagi dengan kegagalan kerajaan Kelantan menguruskan negeri dengan menggunakan wang royalti yang tidak pernah diperinchikan kepada rakyat. Kerajaan Kelantan telah diberikan RM600 juta wang royalti Petroleum tetapi rakyat tidak mengetahui ia digunakan untuk apa. Kerajaan Kelantan tidak pernah menyebut atau memperincikan peruntukan wang itu, seolah-olah menyembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Keadaan itu semua turut memberi sumbangan untuk dilihat kegagalan kerajaan Kelantan. Apakah ada sesuatu yang sukar untuk diperkatakan oleh kerajaan Kelantan mengenai wang royalti Petroleum ini?

Kata kuncinya kegagalan kerajaan Kelantan tidak boleh dilihat mudah oleh pemerhati atau diterima Pas sendiri untuk mengakui mereka tidak akan dikritik oleh rakyat atau pun dibuang dalam pilihan raya nanti.

Kelemahan dan kegagalan kerajaan Kelantan memerintah dan hanya tahu “meratah” itu bakal menjadi faktor berlaku gelombang protes rakyat kepada kerajaan Kelantan kelak. Mungkin perkara ini tidak mendominasi keadaan waktu ini, kerana ia menjadi seperti keladak yang terpendam di hati rakyat, dimana bila sampai masa dan ketikanya ia akan jeluak keluar atau dimuntahkan bila sampai masanya.

Selain daripada kelemahan kerajaan Kelantan khasnya mengenai bekalan air bersih (air paip) yang diperkatakan bukan sahaja di luar Kelantan, tetapi di Kelantan sendiri, boleh menjadi kesan negatif kepada kerajaan Kelantan dalam usaha mereka hendak mengekalkan kerajaan Kelantan. Isu air bersih masih belum tuntas dan ia sudah pasti akan didendangkan dalam pilihan raya kelak.

Perlu diingat Pas sudah berkuasa di Kelantan selama 31 tahun atau enam penggal, tempoh itu menyebabkan ia sedang dinilai oleh rakyat Kelantan secara rasional dan menyeluruh. Walaupun Pas adalah parti warisan datuk nenek, tetapi generasi cucu cicit terkemudian tidak sepandir generasi lama yang dikunci dengan dogma Pas bagi menerima Pas sebagai parti kudus dan memiliki 47 pintu syurga.

Undi 18, juga bakal menjadi faktor akan berlaku kejutan di Kelantan dalam Piraum akan datang. Pengundi muda yang lebih peka kepada keperluan pembangunan dan keperluan kehidupan kontemporari mereka mungkin tidak begitu senang dengan berbagai peraturan syari’ yang diperkenalkan oleh Pas, yang dibuat hanya sebagai gula-gula bagi menunjukkan mereka Islami. Generasi muda yang berilmu dan berpengetahuan tidak mudah termakan dengan umpan bernama agama dan Islam, sifat tawaduk, zuhud dan ikhlas digunakan Pas itu.

Kebebasan sosial di Kelantan yang dibatasi atas maslahat untuk menjaga akhlak bertentangan dengan jiwa generasi muda yang nalurinya mahu kebebasan tanpa disekat dengan peraturan yang direka-reka bakal diprotes. Fitrah semula jadi mereka kepada hiburan boleh menyebabkan mereka tidak begitu tertarik dengan Pas yang dilihat rigid dan bertentangan dengan naluri mereka.

Satu perkara lagi yang juga perlu diberi perhatian dan wajar diperhitungkan Pas Kelantan ialah sikap pengundi di luar Kelantan. Secara tidak rasmi terdapat kira-kira 150,000 pengundi Kelantan berada di luar. Mereka selalunya menjadi penentu kepada kemenangan Pas apabila menyumbang 65 peratus undi kepada Pas pada setiap kali pilihan raya. Mereka akan pulang berduyung-duyung ke Kelantan untuk mempertahankan Pas dan menafikan kemaraan Umno.

Hari ini sudah ada cakap-cakap atau nada kecewa diluahkan dalam kumpulan grup WhatsApp yang sudah mempersoalkan wibawa dan keberkesanan kerajaan Pas Kelantan. Kenyataan dan cara pemimpin Kelantan menangani sesuatu isu yang nampak dangkal dibuat secara simplistik mula dipertikaikan oleh mereka. Ucapan dan kenyataan simplistik pemimpin Kelantan disebar luarkan dalam medsos dan menjadi konten Titok.

Sebagai contoh kenyataan dan jaminan ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Air dan Alam Sekitar, yang berkata masalah air bersih di Kelantan akan dapat diselesaikan 40 tahun lagi menimbulkan cemuhan dan ejekan rakyat Kelantan khasnya berada di luar. Begitu juga dengan kenyataan ramalan tentang banjir kononnya fenomena perubahan iklim tidak sangat membimbang.

Begitu juga dengan persendaan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan air Kelantan “belaka kokna” (banyak) dengan merujukkan kepada Sungai Kelantan, dipersenda dan dicemuhi rakyat.

Kenyataan-kenyataan sebegitu dijadikan ukuran oleh rakyat sejuahmana wibawa dan kualiti mereka sebagai pemimpin kerajaan. Selain itu rakyat Kelantan juga sudah mula menilai apakah fungsi pemimpin asal Kelantan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Terdapat empat ahli Parlimen asal Kelantan berada dalam kerajaan hari ini. Mereka Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Takiyuddin Hassan dan Tuan Ibrahim Tuan Man serta tiga timbalan menteri, Siti Zailah Yusof, Marzuk Shaari dan Nik Zawawi. Dengan keberadaan mereka disitu rakyat Kelantan sangat mengharapkan mereka dapat membantu Kelantan khas menyelesaikan apa-apa isu dan tuntutan berbangkit yang dibuat selama ini.

Malangnya kehadiran mereka, hanya menjadi seperti garam yang dicurah ke dalam laut sahaja, atau seperti memelihara kambing gemuk mandul. Kuasa yang ada kepada mereka tidak memberi apa-apa dampak dan kebaikan kepada Kelantan melainkan hanya untuk kesenangan mereka sahaja. Misalnya Mustapa Mohamed sanggup tinggal parti lamanya (Umno) yang menaikkan darjatnya sebagai menteri, “ungga” (lari) ke Bersatu kerana gilakan jawatan menteri. Tetapi apakah dengan jawatan menteri dipegangnya selama ini, lebih 20 tahun, beliau dapat sumbangkan untuk Kelantan? Nahe kabi nahe.
Satu perkara yang sangat dikesali rakyat Kelantan, apabila keputusan kerajaan Ismail Sabri Yaakob telah menarik balik bayaran tunai royalti petroleum untuk Kelantan diganti dengan wang esah, tetapi tidak dibela oleh keempat-empat menteri itu mereka menjadi bangkai yang kian membusuk sahaja.

Senario itu semua akan mempengaruhi selera dan menjadi titik perkiraan rakyat Kelantan khas mereka tidak berparti dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka bertindak, memprotes dalam pilihan raya akan datang, ia boleh menyebabkan Pas akan dikejutkan dengan kekalahan di luar dugaan. Jangan rasa mustahil kalau Pas tiba-tiba bertakbir di p atau mendirikan solat Hajat sebelum Asar.

Kesimpulannya dapatan atau analisa Dr Mazlan itu bukan sesuatu yang boleh ditelan begitu sahaja oleh Pas Kelantan dan rakyat Kelantan am yang berazam untuk melihat berlaku perubahan di Kelantan diharap tidak terkesan dengan analisa beliau itu. Dan pendedahannya bahawa PH Kelantan lemah dan Umno masih kelu juga perlu diberi perhatian dan dijadikan wake-up call oleh pembangkang termasuk juga Umno. Kita ulas dilain masa atas tajuk apa yang PH dan Umno perlu lakukan?.

BACA:

Scha Elinnea takut tidur seorang diri, perlukan teman
Dahsyat !!! Matahari tiruan China beroperasi 5 kali lebih panas dari Matahari biasa
Sekali pekerja Taman Buaya Melaka ini ‘sound’ terus terdiam buaya

CATEGORIES