Bukan pelik tukar pemimpin waktu krisis, kata Khaled Nordin

Bukan pelik tukar pemimpin waktu krisis, kata Khaled Nordin. Penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab, malah banyak negara lain turut berdepan situasi sama, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.

“Menguruskan pandemik kesihatan dan kegawatan ekonomi yang mempunyai kesan domino di peringkat global bukan satu amanah kecil. Hanya mereka yang berjiwa besar harus digalaskan dengan tanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khaled turut menjelaskan terdapat beberapa perkara yang diharapkan berlaku daripada keputusan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang turut menerima pelbagai pandangan dan persepsi.

pelik

Katanya, Perdana Menteri atau Perikatan Nasional (PN) akan melihat dengan jelas dan terbuka strategi serta gerak kerja dilaksanakan sebelum ini gagal dan adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama.

“Kedua, penarikan sokongan ini dapat menghentikan sebarang desas desus, teka-teki atau apa-apa khabar angin berkaitan sokongan atau majoriti yang dipunyai Perdana Menteri.

“Penarikan sokongan ini akan membuka ruang yang telus untuk dilakukan penilaian semula kepercayaan dan keyakinan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, perkara ketiga diharapkan daripada penarikan sokongan itu ialah dapat menunjukkan dengan lebih tegas bahawa Umno sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat.

Beliau menambah, UMNO mahu isu rakyat dan kemaslahatan negara menjadi perkara pokok yang tiada kompromi, malah sebarang tawaran jawatan kepada sesetengah pemimpinnya tidak akan mengubah pendirian Umno yang mahukan perkara terbaik untuk masyarakat dan negara

“Keempat, kita mengharapkan wujud keyakinan atau harapan baharu di pihak rakyat. Pemimpin yang baharu sudah tentunya akan membawa bersamanya satu harapan dan jangkaan yang segar. Maka, strategi, pendekatan berbeza dan pelan yang lebih radikal adalah sangat diharapkan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/10/tukar-pemimpin-ketika-krisis-tak-pelik-kata-khaled/

Kalau Anda terlepas: Husam dedah, akhirnya terbukti benar