BSN MyRinggit-i Banjir : Permohonan dibuka hingga 31 Januari. Permohonan BSN MyRinggit-i Banjir dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Januari 2022.
Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam satu kenyataan berkata, pembiayaan itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan setakat 25 Januari lalu, ia meluluskan sebanyak 22,887 permohonan berjumlah lebih RM221 juta.

“Mereka yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui laman web BSN, www.bsn.com.my dan mengemukakan dokumen yang lengkap serta sahih iaitu
salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas serta surat pengesahan daripada Pegawai Daerah/JKKK/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas,” katanya.
BSN berkata, permohonan yang diterima sebelum 31 Januari 2022 dengan maklumat yang sahih, dokumen yang lengkap, serta menepati syarat yang ditetapkan, akan diproses bagi meringankan beban kewangan pelanggan.
“Bagaimanapun, pelanggan BSN masih boleh mendapatkan bantuan lain
yang ditawarkan seperti penangguhan ansuran bulanan pembiayaan termasuk
kemudahan pembiayaan/pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli dan kad kredit untuk pelanggan individu serta pembiayaan/pinjaman kepada perusahaan mikro yang terkesan akibat banjir,” katanya.
BSN sebelum ini meningkatkan jumlah pembiayaan peribadi BSN MyRinggit-i Banjir kepada RM10,000 berbanding pengumuman terdahulu RM5,000, susulan kenyataan terkini oleh kerajaan.
BSN MyRinggit-i Banjir menawarkan kadar sifar peratus untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini turut menerima moratorium pinjaman kenderaan, rumah dan kad kredit daripada semua bank bagi menangguhkan pinjaman mereka.
Bantuan berkenaan adalah antara Pakej Bantuan Banjir yang disediakan setakat ini mencecah lebih RM1.4 bilion.
Ia termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), bantuan pembelian barang keperluan dan bantuan baik pulih rumah.