Bos Karangkraf dakwa PKP penuh tak jamin hilangkan Covid-19

Oleh MHDAILY

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh semata-mata tidak mampu mengekang penularan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia ketika ini.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, PKP penuh hanya akan memberi kesan maksimum sekiranya ia disertai dengan ujian saringan Covid-19 berskala besar, selain rasa tanggungjawab tinggi terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh rakyat negara ini.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang sedang melanda adalah berbeza berbanding gelombang pertama tahun lalu apabila virus tersebut dapat dikawal di beberapa tempat.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Jika kita lihat trend terkini rata-rata kes positif Covid-19 adalah daripada individu yang tidak mempunyai gejala.

“Jadi, kalau hanya buat PKP penuh tetapi tiada ujian berskala besar dan masyarakat tiada disiplin, ia tidak memberikan apa-apa makna. Saya rasa kesemua ini perlu bergerak sekali iaitu tiga serangkai.

“Jika dulu buat lockdown boleh, namun sekarang virus ini ada di semua tempat. Kita mesti ada kesungguhan, jika tidak kitaran ini akan berulang dan virus ini tidak boleh dikekang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Mendepani Krisis Covid-19: Apa Tindakan Kita?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, masyarakat juga harus menyediakan diri mereka dengan ilmu mengenai virus tersebut supaya dapat menangani wabak selain mengelak perkara yang tidak diingini.

“Ramai orang di luar sana nak berubat secara sendiri namun tiada ilmu dan akhirnya bila dah kronik, baru nak pergi ke hospital.

“Kalau sudah tidak sihat dan teruk, pergi sahaja ke hospital. Tidak perlu guna wap untuk pulihkan diri, kena percaya pada perubatan moden,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan agar mentadbir negara dengan tenang dan tidak panik dalam menghadapi situasi Covid-19 yang meruncing sekarang.

Jelasnya lagi, jika negara ditadbir dalam keadaan panik, dibimbangi usaha untuk mengekang Covid-19 akan terjejas.

“Kerajaan kena tenang, kena profesional dan betul-betul terbuka dan dapatkan nasihat yang betul kerana saya bimbang nasihat yang diterima separuh masak,” ujar Hussamuddin.

“Sebab itu arahan berubah-ubah, pagi cakap lain malam cakap lain. Harap kerajaan betul-betul bergabung, pakar-pakar bergabung, lupakan politik lakukan gencatan politik demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau lagi.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139206/BERITA/Nasional/PKP-penuh-tak-jamin-bendung-Covid-19