Boleh laksana haji tahun ini atau tidak?, Saya masih tidak dapat makluman – Menteri Agama

Oleh MHDAILY

Kerajaan belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung larangan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai situasi itu dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya tak dapat nak maklumkan bila jangkaan keputusan ini akan diperoleh.

Belum lagi (dimaklumkan). Nanti saya akan dapatkan maklumat (daripada Kerajaan Arab Saudi) dalam masa terdekat. Insya-Allah,” katanya pada majlis pelancaran dana Maybank Mixed Assets-I Waqf di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Untuk rekod, tahun ini adalah tahun kedua rakyat Malaysia tidak dapat menunaikan ibadah haji seandainya kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkenaan.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan menangguhkan ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441.

Keputusan itu dimakluman Zulkifli pada 11 Jun tahun lalu selepas mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil berdasarkan taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Jun tahun lalu.

Berhubung program dana Maybank Mixed Asset-I Waqf, Zulkifli berkata, ia diwujudkan bagi penjanaan pendapatan dan pertumbuhan modal dalam tempoh jangka sederhana dan panjang melalui pelaburan dalam portfolio pasaran sukuk, ekuiti patuh syariah dan menyalurkan sebahagian daripada pendapatan bagi tujuan wakaf.

“Dana wakaf yang diterima akan diagihkan kepada projek wakaf yang telah dikenal pasti di seluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di negeri masing-masing,” katanya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/05/kerajaan-belum-dapat-maklumat-larangan-penangguhan-ibadah-haji-2021/