Menteri Besar Saarani Mohamad menyelar tindakan segelintir pekedai menghalang “frontliners” membeli barangan keperluan termasuk makanan.
Beliau berkata, beberapa pekedai di sekitar Taiping dikesan meletakkan poster melarang masuk petugas terbabit, khususnya kakitangan Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA).
Saarani menyifatkan tindakan pekedai berkenaan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan memberikan persepsi serong terhadap petugas barisan hadapan.
“Ada beberapa kedai yang meletakkan poster dan pelekat tidak membenarkan kakitangan KEMTA untuk membeli barangan.
“Tindakan itu adalah satu penghinaan kepada mereka yang tidak bersalah kerana yang datang (membeli) bukanlah mereka yang positif (Covid-19).
“Yang positif adalah mereka yang di dalam penjara. Yang datang keluar membeli barang keperluan adalah mereka yang bebas (daripada Covid-19),” kata beliau.
Beliau berkata, petugas KEMTA dilarang masuk oleh pekedai tertentu walaupun mereka sudah pun menjalani kuarantin selama 14 atau 10 hari, dan “gelang merah jambu sudah pun dipotong.”
Saarani berkata demikian selepas mengadakan lawatan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) Changkat Jering.
Katanya, tidak ada sebab untuk sesiapa meragui risiko jangkitan daripada “frontliners” tanpa asas sah, sehingga tidak membenarkan mereka membeli barangan keperluan.
“Jangan beri persepsi yang salah kepada petugas ‘frontliners’ termasuk yang bertugas sebagai warder penjara dan petugas pusat kuarantin. Kita seolah-oleh menjatuhkan moral mereka yang selama ini bertugas untuk kebaikan kita,” katanya.
Bulan lalu, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di KEMTA susulan peningkatan kes positif Covid-19.
Tindakan itu diambil selepas Kementerian Kesihatan melaksanakan 1,490 saringan terhadap tahanan dan mendapati 50 daripadanya positif Covid-19.
PKPD di KEMTA serta kuarters kakitangan ditamatkan pada 12 Jan lalu, manakala bagi blok penempatan OKT di PTP yang melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi ditamatkan 26 Jan.
Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkankan semua Exco dan wakil rakyat Perak menunjukkan contoh dan teladan baik dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Katanya, ia termasuk menjaga penjarakan fizikal dan tidak mengambil gambar secara rapat dan membuka pelitup muka. – FMT