Bilangan katil ICU di hospital Melaka sangat kritikal akibat Covid-19

Bilangan katil ICU di hospital Melaka sangat kritikal akibat Covid-19

Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Hospital Melaka menghampiri ambang amaran selepas 51 daripada 72 katil yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 di hospital berkenaan telah diisi setakat semalam.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Rahmad Mariman berkata keadaan tersebut memaksa katil tambahan ICU ditempatkan di wad biasa memandangkan secara keseluruhan terdapat 145 pesakit termasuk pesakit biasa dirawat di ICU hospital itu berbanding kapasiti katil ICU yang hanya 114 buah.

“Perkara ini bukan mudah kerana ia memerlukan katil khas, peralatan lain dan banyak benda kena tetapkan. Ia tidak akan setara sangat dengan ICU sebenar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Melaka hari ini.

Setakat semalam juga seramai 116 pesakit Covid-19 bergelaja rendah telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

“Seramai 352 pesakit masih menunggu penempatan. Kita juga meneruskan penempatan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor dengan 301 pesakit di situ manakala seramai 350 pesakit menjalani pengasingan secara persendirian,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad turut menjelaskan tujuh lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Melaka bagi melancarkan proses pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada rakyat di negeri itu.

Katanya, tiga daripada PPV itu mula beroperasi hari ini iaitu PPV Dewan Hang Tuah, PPV Dewan Create Simpang Ampat, Alor Gajah dan PPV Dewan Hj Ithnin, Merlimau.

Dia berkata baki empat lagi PPV iaitu di Dewan CTRM Batu Berendam, Dewan MMU, Dewan MPHTJ Bukit Beruang dan Dewan UiTM Alor Gajah dijangka beroperasi pada 15 Jun.

“Harapan kita adalah dengan penambahan PPV ini, dijangka seramai 109,510 rakyat Melaka akan menerima vaksin. Ini bermakna 97 peratus daripada mereka yang layak bagi Fasa 2 dan telah mendaftar dalam MySejahtera akan menerima vaksin mereka menjelang 30 Jun 2021,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak empat kilang di Melaka iaitu masing-masing dua di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah telah diarah tutup sementara antara 21 Mei hingga 3 Jun berikutan peningkatan kes positif di premis berkenaan.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/575947