Bersatu parti tak ada masa depan, kata Nazri

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai masa depan kerana hanya bergantung kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, disebabkan itu Bersatu memilih untuk terus bekerjasama dengan Pas melalui Perikatan Nasional (PN) kerana parti Islam itu memiliki kekuatan akar umbi.

“Pada saya Bersatu ini parti yang tiada masa depan kerana parti itu hanya bertaut pada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sahaja. Kalau Muhyiddin tidak menjadi Perdana Menteri, hancur parti itu.

“Sebab itu Bersatu pada saya yang tiada kekuatan akar umbi hanya mahu memperkudakan Pas yang mempunyai kekuatan akar umbi.

“Bersatu juga tiada perjuangan. Macam-macam manusia ada dalam itu. Pengkhianat PKR ada, pengkhianat UMNO ada dan pengkhianat Bersatu original pun ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Malah katanya, sekiranya Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Bersatu tidak mempunyai calon pengganti yang berwibawa untuk memimpin negara.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan parti itu tetap berpendirian bahawa gabungan antara tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Bersatu di bawah PN adalah jalan terbaik bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, Mohamed Nazri berkata, kenyataan itu adalah bersifat politik semata-mata.

Beliau menilai kenyataan itu sebagai mahu menunjukkan bahawa Pas tidak ‘main dua kolam’.

“Saya tidak ambil berat kenyataan pucuk pimpinan Pas itu. Itu kenyataan politik. Dia (Tuan Ibrahim) pun nak tunjuk kepada Muhyiddin yang dia bukan main kayu dua atau tiga.

“Kita faham. Ini adalah politik. Yang pentingnya adalah realiti di bawah. Penyokong Pas cukup selesa dengan penyokong UMNO

“Memang Pas tidak ada masalah dengan bunga (Bersatu) sebab bunga tidak curi dia punya ahli Parlimen. Berbeza dengan UMNO, bunga ini curi kita punya ahli Parlimen,” katanya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/131645/BERITA/Politik/Bersatu-bukan-siapa-siapa-tanpa-Muhyiddin-Nazri-Aziz

COMMENTS

Wordpress (0)