Bermula sebagai hobi, lelaki dari Tumpat ini lihat potensi jana pendapatan dari tanaman anggur

Beriklim khatulistiwa dan bukanlah di kawasan tanah tinggi, tetapi dapat memetik anggur segar yang ditanam di halaman rumah.

Di Kampung Belukar di sini, sesiapa sahaja yang pertama kali berkunjung ke rumah Wan Yusoff Abdul Rahman, 37, pastinya teruja.

Teruja apabila dapat berjalan di bawah rimbunan buah anggur Ninel, Trans,Jupiter, Uzbekistan, dan Dixon yang sangat lebat dan dapat memetiknya sendiri.

Wan Yusoff berkata, dia mahu menjadikan kebun anggur yang di tanam di halaman rumah berkonsepkan petik, timbang dan bayar.

“Itu perancangan saya, tetapi setakat ini anggur yang berbuah ini diberi percuma setiap kali ada yang singgah di kebun saya.

” Ramai kawan-kawan dan orang sekitar Tumpat dan daerah lain datang berswafoto, ambik video kerana teruja anggur berbuah lebat dan rasanya lebih manis dari negara asalnya,” katanya.

Wan Yusoff mengusahakan tanaman anggur sejak 2019 lagi sebagai hobi dan kini menanam 60 pokok anggur di halaman rumahnya.

Katanya, terdapat 30 jenis pokok anggur yang ditanam dan ramai yang teruja rasanya kerana sangat manis.

” Inilah uniknya, walau pun anggur memerlukan kuantiti hujan yang kurang tetapi di Kelantan yang mengalami musim tengkujuh, anggur dapat hidup subur,” katanya.

Menurutnya, hujan adalah musuh utama tanaman anggur ini dan dia membina struktur perlindungan hujan bagi memastikan pokok anggur dalam keadaan baik.

Katanya, ramai yang tidak tahu pokok anggur ini sangat lasak dan memerlukan cuaca panas yang terik.

“Ia dapat mengeluarkan hasil empat kali setahun, selepas buah habis dipetik, saya pangkas daunnya dan ia akan berbuah lagi dalam masa 90 hari,” katanya.

Wan Yusof turut menjual anak pokok anggur pelbagai jenis dengan harga berbeza mengikut saiz.

Antara jenis anak pokok anggur seperti transfigurasi, ninel, dixon, akademik, jupiter, Uzbekistan, veles, baikonur dari pelbagai negara antaranya Russia, Jepun, Ukraine dan banyak lagi.

Berita penuh : https://kelantanupdates.com/lokal/anggur-ninel-trans-berbuah-lebat-di-tumpat/