Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hari ini mencadangkan agar kerajaan memberi peluang kepada calon-calon Ketua Menteri Melaka untuk berdebat secara terbuka.
Memetik laporan Malaysiakini, Anwar berkata cadangan itu wajar diberi perhatian kerana ia boleh mengangkat imej Malaysia di mata dunia sebagai pengamal demokrasi yang matang.
“Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan di antara calon ketua menteri dari PH, BN dan PN (Perikatan Nasional) yang bertanding di Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, hasrat kerajaan memberikan ruang berkempen secara sekata itu memang dialu-alukan apabila ia turut melibatkan calon PH.
Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata dia sedia menimbangkan cadangan untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka berkempen melalui stesen televisyen dan radio kerajaan.
Laporan Bernama menyatakan Annuar berpendapat ruang itu juga boleh diberikan kepada calon pembangkang.
Menurutnya ia difikirkan perlu kerana kerajaan memahami kekangan dialami parti politik dan calon untuk berkempen dengan pelbagai syarat ditetapkan pihak berkuasa.