Pasangan personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae, sering mencuri perhatian dengan cara unik mereka membesarkan anak perempuan, Rina, 4, dalam dua budaya, Melayu dan Korea.
Rina bukan sahaja didedahkan kepada bahasa, tetapi juga makanan dan adat kedua-dua negara, yang membuatkan ramai kagum dengan pendekatan keluarga yang mesra dipanggil DurianKimchi itu.
Namun, segelintir masyarakat tidak berpuas hati dengan cara mereka membesarkan Rina.
Ada yang mendakwa bahawa membenarkan Rina menikmati makanan Korea bertentangan dengan ajaran Islam, memandangkan Maryam adalah seorang mualaf.
Tidak berdiam diri, Ryzal membidas tuduhan tersebut, menegaskan bahawa agama dan budaya adalah dua perkara berbeza.
“Apa kena mengena isteri masuk Islam dengan perlu makan makanan Melayu? Islam bukan untuk Melayu sahaja!” tegas Ryzal ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Menurut Ryzal, ada segelintir masyarakat yang berfikiran cetek dan percaya apabila seseorang memeluk Islam, mereka wajib menerima budaya Melayu secara keseluruhan.
Balas Komen Negatif demi Maryam dan Keluarga
Ryzal turut menjawab beberapa komen pedas netizen di media sosial yang mempertikaikan Maryam kerana memasak makanan Korea untuk anak mereka. Beliau menggunakan nada tegas sebagai pengajaran kepada mereka yang gagal menjaga adab.
“Tugas saya adalah melindungi isteri saya, apatah lagi dia sedang sarat hamil. Maryam penat memasak dan mencari bahan masakan Korea untuk anak kami, dan hanya saya tahu betapa sukarnya dia menyediakan makanan itu,” ujar Ryzal.
Perjalanan Bahagia DurianKimchi
Ryzal dan Maryam berkahwin pada 15 Ogos 2019 di Korea Selatan dan kini menantikan kelahiran anak kedua mereka yang dijangka lahir pada Februari ini.
Walaupun sering menerima kritikan, pasangan ini terus membuktikan bahawa perbezaan budaya dan latar belakang tidak menghalang mereka untuk membina keluarga bahagia yang penuh kasih sayang dan toleransi.
BACA: Uji Rashid buka mulut setelah lama menyepi, rupanya habiskan masa jaga Cico Harahap