Beranikah Ismail Sabri bentuk kabinet tanpa budaya ‘balas budi’?

Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob perlu ada keberanian dan ketegasan dalam membentuk barisan Kabinet yang akan membantunya menguruskan negara.

Penganalisis Politik Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat, keseimbangan sememangnya penting dalam Kabinet, namun, apa yang lebih perlu diutamakan ialah prestasi pemimpin yang dipilih.

“Kita hanya ada kira-kira 17 bulan sahaja sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Justeru, ahli Kabinet yang dipilih perlu efisien bagi membolehkan segala perancangan dan fungsi berjalan dengan baik.

Beranikah Ismail Sabri bentuk kabinet tanpa budaya 'balas budi'?

“Perdana Menteri perlu lihat setiap lantikan itu sebagai lantikan untuk negara. Pastikan fokus terarah pada isu-isu besar seperti ekonomi dan kesihatan.

“Kita tidak perlu Kabinet yang besar, cukup sekadar tahu fokus utama dan berfungsi dengan efisien,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Awang Azman, ketika ini pastinya tumpuan rakyat terarah kepada kementerian-kementerian utama seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan.

“Kedua-dua kementerian ini memerlukan individu yang bukan sahaja faham selok-belok kementerian, tetapi juga dinamik dan proaktif serta berfikiran terbuka.

“Sebagi contoh KKM, menteri terbabit perlu pandai cari keseimbangan dalam aspek sains, data dan sosial. Vaksin memang membantu tetapi ia bukan satu-satu jalan keluar dari pandemik.

“Nak turunkan kes, kena tengok dari pelbagai sudut pandangan. Lebih baik, jika beliau seorang yang terbuka menerima pendapat khususnya daripada pakar-pakar,” ujar beliau lagi.

Awang Azman juga berpendapat, tiada keperluan untuk mewujudkan kementerian baharu ketika ini, memandangkan banyak kementerian sudah mempunyai sub bahagian yang tersendiri.

“Penjenamaan kementerian boleh difikirkan, tetapi apa yang perlu dilihat sekarang adalah pengisian kementerian itu.

“Kena ada kerjasama sepasukan dan sedikit kreativiti untuk memastikan kementerian itu mampu berfungsi di tahap maksima,” jelas Awang Azman.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya dalam tempoh terdekat selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-kena-berani-jangan-bentuk-kabinet-atas-dasar-terhutang-budi-penganalisis-315420

BACA JUGA : Tulisan Presiden Pas akhirnya terkena atas mukanya sendiri

Artikel ini disiarkan pada 22/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)