Bengang menteri terus menyepi, netizen banjiri FB ATM, TUDM persoal status jet Israel

Bengang menteri terus menyepi, netizen banjiri FB ATM, TUDM persoal status jet Israel

Laman sosial Facebook Angkatan Tentera Malaysia (ATM) teruk ‘diserang’ warganet yang berang isu pesawat perisik Israel berjaya menceroboh negara ini minggu lalu.

Tidak ketinggalan laman sosial Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang juga menjadi sasaran kemarahan ramai netizen tempatan atas pencerobohan paling tidak diduga tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sejak semalam, kedua-dua akaun sosial rasmi ATM dan TUDM habis dikutuk warganet yang kecewa dengan kelemahan yang dianggap cukup memalukan itu.

Malah, mereka menjadikan setiap hantaran status di laman media sosial ATM dan TUDM termasuk ucapan Hari Wesak sebagai wadah melepaskan geram dengan puluhan komen bernada kesal berhubung insiden berkenaan.

Semalam, media Singapura mendedahkan, pesawat pengintip model Boeing 737-400 milik syarikat pertahanan kerajaan rejim Zionis, Israel Aerospace Industries berada di republik itu.

Pesawat dengan nombor pendaftaran 4X-AOO itu berlepas dari Israel pada 18 Mei lalu dan tiga hari kemudian selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Singapura di Paya Lebar.

Terdahulu, ia dilaporkan tiba di utara Selat Melaka pukul 6 pagi 20 Mei lalu sebelum terbang melalui ruang udara Kuala Lumpur dan Putrajaya pada ketinggian 8,888 meter dari paras laut.

Laman jejak pesawat terkenal antarabangsa, FlightRadar 24 melaporkan, pesawat canggih itu yang dalam misi penerbangan ujian, namun, tiba-tiba hilang di Melaka pada pukul 11.30 pagi.

Kehadiran pesawat Israel itu turut mengundang tanda tanya kerana berlaku sehari sebelum gencatan senjata diumumkan rejim zionis selepas konflik berdarah di Palestin selama 15 hari.

Lebih aneh, ia bebas terbang di Malaysia yang tiada hubungan diplomatik dengan rejim zionis dan melarang keras sebarang pergerakan pesawat Israel melalui ruang udara negara ini.

Paling dibimbangkan netizen, pesawat berkenaan mungkin melakukan aktiviti pengintipan secara rahsia termasuk mengenal pasti kedudukan tepat puluhan kem tentera di Semenanjung.

“Apakah tindakan pihak TUDM tentang pesawat Israel itu sewenangnya masuk ruang udara Malaysia, silalah peka keadaan ini,” soal pengguna media sosial bernama Sumayyah Aina.

“Macam mana boleh selamba pesawat Yahudi itu masuk sempadan negara, sedangkan kita langsung tiada hubungan diplomatik,” keluh seorang netizen dengan nama Mirzan Shaleh.

“Jangan dibuat main-main! Ini perkara serius. Sudahlah Malaysia dalam sasaran pihak Israel disebabkan kita menegakkan keadilan untuk Palestin,” kata warganet, Nazmi Emaemo.

“Boleh jelaskan kenapa kapal terbang Israel itu bebas meronda. Macam pelik. Kenapa semua orang komen tapi TUDM tidak balas?” tanya netizen bernama sebagai Nur Suraya pula.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/facebook-atm-tudm-diserang-warganet/