BERITA disiarkan akhbar Malay Mail bertarikh 6:14 petang, 1 Julai 2021 bertajuk ‘Kedah MB says won’t help those who raise white flag for help, cites propaganda against govt’ ditulis oleh wartawan R. Loheswar ternyata tidak tepat, mengelirukan serta tidak menepati apa yang sebenarnya disebut oleh Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md. Nor.
Dalam sidang media di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim tengah hari semalam, YAB Menteri Besar sama sekali tidak mengeluarkan kenyataan melarang bantuan dihulurkan kepada sesiapa yang mengibarkan bendera putih sebagaimana tajuk berita yang disiarkan.
Apa yang disebut oleh YAB Haji Muhammad Sanusi bahawa Kerajaan Kedah menyediakan saluran yang mencukupi bagi rakyat yang terputus bekalan makanan untuk membuat aduan. Saluran-saluran itu ialah panggilan telefon terus ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), terus kepada wakil-wakil rakyat (atau pegawai-pegawai yang mereka lantik) ataupun foodbank di 578 buah masjid di seluruh Kedah.
Jelasnya lagi, Kerajaan Kedah tidak mengiktiraf pengibaran bendera putih sebagai kaedah yang sah kerana langkah itu telah dimanipulasi oleh pembangkang untuk propaganda politik kononnya Kerajaan Gagal membantu rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19.
“Ada Ahli Parlimen (pembangkang) yang tolong penaik bendera putih di rumah orang. Ini bukan nak tolong rakyat tetapi propaganda politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, diminta pihak editorial Malay Mail untuk menukar tajuk berita tersebut kepada yang menepati maksud sebenar kenyataan YAB Menteri Besar.
Jika tidak, ia boleh mencetuskan salah faham yang serius serta menimbulkan persepsi yang buruk terhadap YAB Haji Muhammad Sanusi sebagai ketua kerajaan dalam kalangan orang ramai.
Berita Penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/02/tajuk-mengelirukan-malay-mail-berkaitan-mb-kedah/