Bendera putih bukan tanda kerajaan gagal, kata Zafrul

Bendera putih bukan tanda kerajaan gagal, kata Zafrul

Bendera putih bukan tanda kerajaan gagal, kata Zafrul.Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menganggap dakwaan Malaysia menuju ke arah negara gagal adalah tidak adil dan menafikan inisiatif bendera putih menjadi indikator kepada keadaan itu.

“Saya pasti ramai saintis sosial dan politik berasa bingung seperti saya apabila satu kempen prihatin kemasyarakat – dan mungkin juga perbualan di media sosial – untuk membantu yang memerlukan boleh disamakan dengan petanda negara gagal,” katanya dalam satu tulisan untuk media Singapura, The Straits Times, pada Selasa.

Pada masa sama Zafrul berkata kerajaan sudah meningkatkan usaha memberikan bantuan kepada rakyat di negara ini di sebalik bebanan legasi hutang, masalah struktur sosioekonomi dan suasana politik tidak menentu yang dihadapi.

Bendera putih

Katanya sebanyak RM38 bilion berjaya diagihkan kepada rakyat sama ada secara langsung atau melalui subsidi pada tahun lalu.

Sebanyak RM45 bilion lagi katanya diperuntukkan pada tahun ini dengan baki RM28 bilion sedang disalurkan.

“Semua penyaluran ini membantu pekerja dan golongan pertengahan Malaysia, menyokong 330,000 pekerja dan menyelamatkan lebih 2.7 juta pekerjaan,” katanya.

Kadar pengangguran juga, katanya, dikurangkan dari 5.3 peratus pada Mei tahun lalu menjadi 4.5 peratus pada Mei tahun ini.

“Adakah semua fakta ini mencerminkan keadaan gagal?” katanya memetik portal Malaysiakini.

Untuk rekod kempen bendera putih secara umumnya digerakkan oleh orang ramai bagi membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan tanpa melalui agensi kerajaan.

Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah menaikkan bendera putih di depan rumah masing-masing.

Ketika kebanyakan pihak bergegas memberikan bantuan kepada keluarga atau individu terbabit, sesetengah ahli politik menunjukkan rasa tidak senang mereka terhadap inisiatif berkenaan.

Misalnya beberapa pemimpin kanan PAS seperti Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ulama parti itu Ahmad Dusuki Abd Rani dan exco Kelantan Mumtaz Md Nawi.

Inisiatif itu kemudian digunakan pengkritik kerajaan untuk mendakwa Perikatan Nasional (PN) gagal membantu rakyat dan menjaga keselamatan mereka.

Untuk menguatkan hujahnya Zafrul berkata inisiatif bakul makanan melalui peruntukan RM300,000 untuk semua ahli Parlimen Malaysia adalah contoh bagaimana kerajaan membantu rakyat.

Beliau juga mendakwa dakwaan Malaysia menuju ke arah negara gagal juga mengabaikan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada orang ramai.

“Kini bekalan vaksin yang mencukupi akhirnya semakin menghampiri dan kami melakukan apa saja yang perlu serta bekerjasama dengan kerajaan negeri, sektor swasta dan pertubuhan sosial untuk program vaksinasi besar-besaran,” katanya.

Berdasarkan situasi itu, kata Zafrul, tidak ada wartawan yang tergamak melabel kerajaan Malaysia – yang didakwanya berada dilandasan tepat memastikan 80 peratus populasi dewasa diberi vaksin menjelang akhir 2021 – menuju negara gagal.

Sebelum ini portal berita ekonomi Bloomberg menyiarkan laporan mendakwa Malaysia sedang bergerak menuju negara gagal ekoran munculnya inisiatif bendera putih yang digerakkan orang ramai.

Berita Penuh : https://suara.tv/13/07/2021/bendera-putih-bukan-penanda-kerajaan-gagal-tengku-zafrul/

Jika Terlepas: Positif Covid-19 : PPV IDCC ditutup hari ini