Bekas menteri gesa gaji menteri dipotong. Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemotongan elaun dan gaji barisan menteri kabinet sebanyak 20 peratus dengan kadar segera.
Menurutnya, langkah itu wajib diutamakan kerajaan bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat negara ini tatkala mereka sedang bergelut mendepani cabaran krisis ekonomi ‘bertindih’ yang semakin parah, bermula dengan pandemik Covid-19 disusuli implikasi konflik Rusia-Ukraine.
Katanya, kerajaan sedia ada sepatutnya mencontohi pendekatan kabinet kerajaan zaman dahulu yang menjadikan inisiatif pemotongan elaun menteri sebagai langkah penjimatan terawal sewaktu negara berdepan sebarang bentuk krisis.
“Saya cadangkan supaya gaji (elaun) jemaah menteri dipotong sebanyak 20 peratus sewaktu negara mendepani krisis ekonomi ‘bertindih’ ketika ini.
“Kalau zaman kami dahulu, tindakan pemotongan gaji (elaun) menteri paling awal dilaksanakan bila sesebuah krisis melanda negara.
“Kami pula bersepakat setuju dengan cadangan itu dan menjadikannya satu keputusan kabinet. Tiada sebarang paksaan untuk kami menerimanya, bahkan ia dilakukan atas sifat empati terhadap kesukaran rakyat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindak balas kerajaan terhadap isu kenaikan kos sara hidup, ancaman sekuriti makanan dan masalah hiperinflasi yang melanda negara susulan tercetusnya konflik Rusia-Ukraine sejak beberapa bulan lalu.
Bagi Rafidah, sekiranya keputusan bersifat empati seperti inisiatif pemotongan elaun menteri dikuatkuasakan segera, rakyat akan merasakan pemimpin kerajaan turut memahami denyut nadi selain kesanggupan merasai kesukaran rakyat sepanjang mendepani krisis ekonomi ‘bertindih’.
“Kalau kadar pemotongan elaun menteri dibuat pada kadar 20 peratus, apa sangat nilai yang dipotong daripada keseluruhan RM69,000 nilai elaun bulanan diterima menteri.
“Ia menunjukkan kerajaan bersikap realistik dan sanggup berkorban. Sungguhpun inisiatif pengorbanan itu bukan memberi kesan langsung kepada rakyat, tetapi sekurang-kurangnya ada sifat empati ditunjukkan kepada mereka,” ujarnya.
Rafidah yang juga Pengerusi AirAsiaX turut meluahkan kekecewaan terhadap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti FGV Holdings Berhad yang didakwa mencadangkan kenaikan kadar elaun tahunan pengerusi dan ahli lembaga pengarah pada saat rakyat berdepan kesukaran mencari rezeki.
“Masa rakyat susah, GLC hendak cadang naik gaji pengerusi? Saya selaku Pengerusi AirAsiaX pun terpaksa akur dengan pemotongan elaun tahunan sehingga 20 peratus.
“Tindakan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan menaikkan gaji (elaun) masing-masing menunjukkan seolah-olah mereka tiada empati terhadap rakyat.
“Kalau FGV Holdings boleh buat sebegitu, pada masa hadapan, GLC lain pun buat benda sama,” tegasnya.
BACA:
Dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di India, ini kisah Mubarak Majid yang ramai tak tahu
Mesyuarat Agung FGV luluskan kenaikan elaun pengerusi, BOD
Waspada penyakit kelamin terbaru ini, anda mungkin terkena jangkitan