Bazar Ramadan di Kuala Terengganu di arahkan tutup selepas gagal patuh SOP

Bazar Ramadan Tok Adis, Kuala Ibai di sini menjadi bazar pertama di Terengganu diarah ditutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam Jumaat hingga 30 April ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, perintah penutupan itu dikeluarkan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, notis penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1) (f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pegawai penguat kuasa telah melakukan pemantauan di lokasi itu selama beberapa hari dan kita dapati banyak berlaku pelanggaran SOP.

“Nasihat sudah diberikan dan kita berharap penganjur dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan selain memastikan ia dipatuhi oleh peniaga serta pengunjung.

“Penutupan ini juga dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan diharap ia menjadi iktibar kepada semua agar mereka tidak cuai dalam pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum itu, tular dalam media sosial mengenai notis penutupan bazar Ramadan Tok Adis, Kuala Ibai yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Pada Jumaat, Terengganu merekodkan 16 kes baharu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 aktif sebanyak 247 kes dan semua pesakit berada dalam keadaan stabil serta diberikan rawatan biasa.

Terdapat lapan kluster aktif di negeri ini iaitu Kluster Ladang Bukit, Chendering Height, Wakaf Chagak, Kampung Belaoh, Kampung Tanjung, Ara Murni, Jalan Kota Kubang Labu dan terbaharu adalah Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134008/EDISI/Terengganu/Gagal-patuhi-SOP-bazar-Ramadan-Tok-Adis-diarah-tutup

COMMENTS

Wordpress (0)