Umno tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan negara sedang berdepan Covid-19.
Pengarah Pilihan Rayanya, Tajuddin Abdul Rahman berkata, sekiranya desakan PRU15 diteruskan hanya akan menyukarkan usaha kerajaan memerangi Covid-19.
“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno, komited untuk terus membantu kerajaan menjayakan agenda negara dan membebaskan rakyat dan negara daripada pandemik ini.
“Peranan jentera pilihan raya Umno di negeri dan Parlimen yang bersedia hadapi PRU15 pada waktu ini, seharusnya digembleng untuk membantu kerajaan mengekang Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 April lalu, Tajuddin berkata Umno akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN selewat-lewatnya Ogos, sekalipun Parlimen tidak dibubarkan ketika itu untuk PRU15.
Pada 26 Mei lalu, Tajuddin dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd dan telah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes salah guna kuasa.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu turut menyeru ahli parti membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan Covid-19.
Tajuddin berkata, angka jangkitan harian Covid-19 yang tinggi ketika ini iaitu sekitar 5,000 hingga 6,000 kes sehari, memaksa tumpuan parti dialihkan kepada isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang lebih kritikal.
“Apabila negara berhadapan dengan trend peningkatan mendadak kes Covid-19 dan kes kematian yang meningkat, saya pesan kepada jentera parti supaya mendahului rakyat dalam isu Covid-19 walaupun tumpuan mereka adalah kepada pilihan raya,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, dalam memerangi pandemik Covid-19 ketika ini, nyawa dan keselamatan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan.
Beliau berkata, seramai 3.5 juta ahli Umno di seluruh negara boleh digerakkan bagi membantu kerajaan melandaikan lengkung rantaian Covid-19 bagi membolehkan mereka yang terkesan dengan pandemik ini berupaya meneruskan kehidupan seperti sedia kala.
“Kerajaan juga perlu diberi ruang untuk memberi fokus kepada usaha vaksinasi agar 80% rakyat Malaysia mendapat vaksin dan imuniti kelompok dicapai segera,” katanya.
Setakat semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan, 4,361,358 individu sudah menerima vaksin sementara 13, 757,093 telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/13/umno-tak-perlu-desak-adakan-pru15-masa-ini-kata-tajuddin/