BANJIR | Netizen kongsi gambar dan video situasi semasa banjir di Pahang

Oleh MHDAILY

Video rumah tenggelam dan jalan terputus giat dikongsikan di media sosial, menggambarkan situasi sebenar banjir di Pahang susulan hujat lebat berterusan sejak semalam.

Pengguna Twitter, @twtfkrl_ memuat naik video yang memaparkan air naik tinggi sehingga hampir menenggelamkan kediaman penduduk di Maran.

Di Jengka, @redzuanNewsMPB berkongsi video memaparkan pengguna jalan raya terkandas di tengah jalan yang ditenggelami air.

Dalam video yang sama, cubaan dua orang penunggang motosikal merentas air yang deras tidak berjaya, malah kenderaan mereka hanyut dibawa arus.

Pengguna @JalalMisai_2 pula berkongsi video tanah runtuh dan pokok tumbang di Bentong. Video lain juga memaparkan Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran R&R Gambang dinaiki air.

Laman maklumat bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 1 tengah hari tadi melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 447 penduduk daripada 119 keluarga, berbanding 65 penduduk daripada 19 keluarga pagi tadi, kata Bernama.

Agensi berita itu juga melaporkan kebanyakan premis perniagaan sekitar bandar Kuantan ditutup, berikutan pusat bandar dinaiki air sejak awal pagi.

Laman maklumat bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi tadi memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Lepar dan Sungai Lembing di Kuantan, dan Sungai Lipis di Raub.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang, melibatkan daerah Pekan dan Rompin. MetMalaysia turut meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, dan Bera.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/03/rumah-tenggelam-jalan-terputus-warganet-kongsi-situasi-banjir-di-pahang/

Baca Artikel Penuh