“Bagai hirup minyak pekat, saluran pernafasan tersekat”

Bagai menghirup minyak pekat dan tersekat saluran pernafasan.

Itulah pengalaman seorang suri rumah yang sesak nafas sebelum pengsan akibat insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, malam kelmarin.

Rozina Ahmad, 46, berkata insiden itu adalah pengalaman paling menakutkan, apatah lagi beliau baru pulih daripada jangkitan COVID-19 ketika insiden berkenaan berlaku.

"Bagai hirup minyak pekat, saluran pernafasan tersekat"

Rozina bersama Abdul Rahim ketika ditemui di rumah mereka hari ini selepas insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas.

Beliau berkata, rumahnya yang terletak hanya 30 meter daripada anak sungai lokasi sisa kimia berbahaya itu mengalir, menyebabkan keluarganya antara yang paling terjejas dalam kejadian itu.

“Saya dan keluarga terhidu bau busuk bermula jam 7 malam lagi, sebelum ia berbau lebih pekat dan menyesakkan nafas.

“Pada mulanya saya ingat bau gas dari dapur kerana ketika itu sedang memasak, namun baunya mula membuatkan kepala kami sekeluarga semakin pening menyebabkan suami, Abdul Rahim Md Taib, 47, memeriksa di kawasan luar rumah dari mana punca bau itu.

“Suami kemudian memberitahu kawasan anak sungai di hadapan rumah kami mengeluarkan kepulan asap dan wap seperti kabus yang berbau busuk, sebelum meminta kami semua masuk ke dalam rumah.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 9 malam kakak saya membuka pintu dan menjenguk ke luar rumah, sebelum dia memberitahu mengalami sesak nafas serta pening dan akhirnya pengsan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Media semalam melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa lalu itu, empat wanita berusia 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Berikutan itu, arahan pengosongan kampung berkenaan dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum semua mereka dibenarkan kembali ke rumah lewat petang semalam.

Sementara itu, Rozina berkata, dalam kekalutan itu suami kakaknya membawa isterinya keluar rumah bagi mendapatkan bantuan sebelum mereka sekeluarga juga mengambil keputusan untuk ke rumah jiran yang agak jauh.

“Ketika itu bau busuk berkenaan sudah memenuhi dalam rumah menyebabkan saya mula mengalami batuk-batuk yang teruk. Kakak pula sudah dihantar ke hospital lebih awal.

“Dalam kekalutan itu, suami menelefon bomba sebelum saya terus muntah-muntah hampir 20 kali, sebelum pengsan tidak lama kemudian.

“Saya hanya tersedar ketika sedang dirawat doktor di HSA. Doktor yang merawat saya turut memaklumkan bau kimia yang kuat dapat dihidu dari pakaian saya.

“Doktor kemudian membuat pemeriksaan darah selain memasukkan kamera ke dalam badan bagi memeriksa sama ada sisa kimia dihidu sudah memasuki badan berikutan saya sukar bernafas,” katanya.

Katanya, beliau bersyukur apabila doktor mengesahkan sisa kimia tidak memasuki badannya sebelum dibenarkan kembali ke rumah petang semalam.

“Namun saya masih perlu mendapatkan rawatan susulan jika mengalami sesak nafas, apatah lagi tekak saya masih berasa pahit dan kering,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/864828/sisa-kimia-saluran-nafas-tersekat-seperti-menghirup-minyak-pekat

BACA JUGA : Panas !!! Peluang Ismail Sabri terajui Umno terbuka luas sebelum Julai 2022?