Azmin nafi MITI jadi penentu tunggal kelulusan operasi

Azmin nafi MITI jadi penentu tunggal kelulusan operasi

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) memberitahu ia bukanlah pihak tunggal yang memberikan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh sekarang.

Menterinya Azmin Ali berkata ada pelbagai kementerian lain terbabit dalam saringan sektor industri yang mengemukakan permohonan melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 kendalian Miti.

Sehingga kini kata menteri kanan itu sebanyak 15 kementerian menggunakan CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran beroperasi mengikut sektor masing-masing.

Setelah kementerian terbabit mengesahkan permohonan terbabit, kata Azmin, syarikat berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras mereka sendiri.

“Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Smile (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.

Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh Mti setelah mendapat pengesahan daripada kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh kementerian lain yang terbukti berkesan untuk kumpulan sasaran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan itu dibuat ketika banyak pihak membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan sekatan pergerakan penuh bagi menangani Covid-19 yang diumum kerajaan.

Kapasiti dihad 60 peratus

Ketika banyak sektor ekonomi dan sosial diarah tutup, orang ramai berasa gelisah apabila mendapati masih banyak syarikat atau perniagaan dibuka sekali gus bercanggah dengan matlamat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang mahu meminumumkan pergerakan orang ramai.

Miti juga menjadi perhatian selepas seorang lagi menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob, menimbulkan spekulasi dengan hantaran berteka-tekinya di Facebook semalam.

Orang ramai juga tertanya-tanya mengenai kelulusan yang diberikan kerajaan kepada syarikat pengeluar minuman keras sebelum ia diarahkan tutup serta-merta oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Azmin berkata Bank Negara juga bertanggungjawab ke atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan.

Katanya Miti bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.

“Dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan ini, semua aktiviti ekonomi dan sosial tidak dibenarkan kecuali 17 senarai perkhidmatan perlu dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60 peratus.

“Sektor sektor yang dibenarkan untuk beroperasi oleh MKN meliputi pembuatan; pertanian; perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi; pembinaan; dan perdagangan pengedaran,” katanya.

Tambah Azmin lagi setakat jam 7.30 pagi tadi sebanyak 586,308 permohonan membabitkan 10.2 juta pekerja berdaftar dengan CIMS.

Daripada jumlah itu katanya surat kebenaran beroperasi yang dicetak melalui CIMS hanya 128,150 yang membabitkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.

Katanya Miti juga mengambil maklum mengenai aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada berada dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Miti terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

“Miti melalui unit penguatkuasaan bersama agensi penguat kuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/577401