Azmin kata Program Imunisasi Covid-19 mampu rangsang pelabur luar, pulihkan ekonomi

Azmin kata Program Imunisasi Covid-19 mampu rangsang pelabur luar, pulihkan ekonomi

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada Rabu dapat merangsang pengaliran pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan memacu pemulihan ekonomi.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu berkata, vaksinasi raya adalah satu kemestian bagi mempercepatkan dan memastikan pemulihan ekonomi yang mampan, efektif serta lestari.

Menurutnya, langkah tersebut dapat merancakkan semula usaha dan aktiviti barisan hadapan terhadap ekonomi negara.

“Esok, 24 Februari program imunisasi nasional terbesar yang pernah disaksikan sejarah Malaysia menjadi satu perubahan besar kepada perjuangan kita memerangi pandemik Covid-19.

“Program ini merupakan langkah proaktif, tegas dan tuntas Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Program ini merupakan ikhtiar kerajaan dalam menjamin penjagaan serta perlindungan kesihatan awam, prihatin dan peduli terhadap kesejahteraan rakyat serta berazam menjana semula kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah, fokus utama program tersebut adalah untuk melindungi anggota barisan hadapan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan dioptimumkan, melindungi warga berisiko tinggi, membina imuniti kelompok bagi membuka semula semua sektor ekonomi.

Katanya, vaksinasi juga berperanan dalam mengawal wabak di kawasan berisiko tinggi sekali gus mengurangkan kadar transmisi Covid-19.

Pada masa sama Azmin berkata, Bank Dunia mengunjurkan bahawa dengan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 6.7 peratus bagi tahun 2021.

“Apabila imuniti kelompok dicapai dan semua sektor ekonomi kembali dibuka, kita dapat mencerdaskan semula sektor pelancongan yang menyediakan 3.56 juta pekerjaan, salah satu sektor penyumbang pekerjaan terbesar negara.

“Hari esok adalah fajar harapan buat Malaysia. PN menyeru seluruh rakyat untuk memberi dukungan penuh terhadap usaha imunisasi nasional dan memastikan kejayaan milik kita bersama,” katanya

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125318/BERITA/Nasional/Program-Imunisasi-Covid-19-Kebangsaan-ransang-FDI-pulih-ekonomi