Audio Zahid Anwar : Polis akan siasat – Menteri

Audio Zahid Anwar : Polis akan siasat – Menteri

Tiada masalah buat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui yang Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah “guru politiknya”, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Pun begitu kata Hamzah, pihaknya akan menyiasat laporan polis yang dibuat berhubung penyebaran audio perbualan didakwa antara Ahmad Zahid dan Anwar.

“Sudah tentu kita (Kementerian Dalam Negeri) akan siasat semua laporan yang telah diberikan kepada kita. Pertama siasat tentang ketulenan, apakah ada perbuatan itu.

“Kalau tidak ada perbualan itu maka bermakna cerita yang dibuat itu adalah fitnah.

“Kalau ceritanya betul… saya dengar juga (audio itu), ceritanya Zahid mengaku bahawa Anwar adalah cikgu, cerita yang betul. Kalau itu (Anwar guru Ahmad Zahid), betul.

“Salah ke Anwar (Ibrahim) jadi cikgu kepada Ahmad Zahid? Yang dua-dua nak marah ni kenapa? Saya pun hairan juga,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Hari ini, Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Shahidan Kassim mengesahkan akan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon didakwa berlaku di antara Ahmad Zahid dan Anwar.

Rakaman audio itu mula tular dan menarik perhatian ramai sejak semalam dan lebih memanaskan keadaan politik negara selepas Umno membuat ketetapan akan menarik sokongan kepada PN pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai, selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dia adalah orang yang didakwa berbual itu dan mengarahkan agar laporan polis dibuat berhubung perkara berkenaan.

Anwar juga turut tampil menafikan tuduhan itu dan turut mengarahkan pegawainya membuat laporan polis.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu juga berkata tidak menjadi masalah jika Umno mahu bekerjasama dengan PKR.

Malah ahli parlimen Larut itu bertanya adakah salah untuk Umno berbuat demikian.

“Salah ke kalau Umno nak bekerjasama dengan PKR? Kalau salah terpulang kepada mereka.

“Kalau mereka kata tidak ada, tidak pernah bincang, maknanya tidak benar Umno nak bersubahat dengan PKR. Tidak ada pun kerjasama.

“Jadi ada dua perkara di sini. Pertama ada perbualan dan adakah ia tulen; kedua apa yang ada dalam perbualan itu – betul atau tidak?” katanya lagi.

Berita penuh :https://m.malaysiakini.com/news/569936