Armada bengang logo Bersatu dibubuh daun ganja, netizen guna #ARMADADAH

Armada bengang logo Bersatu dibubuh daun ganja, netizen guna #ARMADADAH

Pemuda Bersatu (Armada) mengecam tindakan aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza yang memuat naik imej memapaskan logo parti Bersatu yang digabungkan dengan imej daun ganja.

Perkembangan itu hadir selepas salah seorang ahli Bersatu semalam dilapor ditangkap polis kerana disyaki memiliki sejumlah besar dadah.

“Pemuda Bersatu mengecam tindakan Fahmi Reza yang mencemarkan logo parti.

“Armada mengecam tindakan Fahmi Reza yang memburukkan logo parti.

“Armada turut ingin nyatakan bahawa kami tidak menyokong mana-mana perbuatan jenayah atau salah guna dadah.

“Justeru, kami memohon orang ramai agar tidak mengaitkan sayap atau menggunakan tanda pagar #ARMADADAH sebagai alat kempen memburukkan parti,” kata sayap parti itu di Facebook.

Dalam catatan berasingan, Armada menegaskan individu yang ditahan merupakan ahli biasa dan bukannya pemimimpin parti.

Justeru, mereka mengecam laporan media yang mendakwa individu berkenaan pemimpin Bersatu dan akan seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang.

Semalam, sumber polis, yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu didedahkan namanya kerana perkara itu masih dalam siasatan, mengatakan polis merampas 1.5 kg daun ganja kering, sembilan tanaman ganja, dan sejumlah besar cecair dipercayai mengandungi narkotik.

Sumber mengatakan bahawa polis bertindak berdasarkan maklumat dan menahan suspek, berusia 35 tahun, di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada hari Rabu petang kerana memiliki bahan terlarang.

Berikutan penangkapan itu, polis menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor, pada hari itu.

“Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.

“Kami juga menemui leraian daun kering disyaki ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas,” kata sumber lagi.

Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.

Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.

Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama individu yang dimaksudkan selagi dia tidak didakwa. Dia masih suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.

Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam Bersatu. Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro dalam Armada.

Ketika PRU 2018, dia menjadi calon Bersatu di kerusi Parlimen di Perak.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain, ketika dihubungi, mengesahkan kes itu dan mengatakan ia sedang disiasat oleh polis Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin tidak memberi respons terhadap permintaan komen.

Ini bukan kali pertama individu yang dikaitkan dengan Bersatu disiasat untuk masalah berkaitan dadah.

Pada Januari tahun lalu, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah adalah antara mereka yang ditahan dalam serbuan kes dadah di Kuala Lumpur.

Pada mulanya, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengatakan 16 (daripada 17) orang ditangkap di sebuah unit kondominium setelah mereka didapati positif dadah terlarang. Ketamin dan ganja juga dijumpai di unit itu, katanya.

Selepas dua bulan dan pertukaran kerajaan, pihak berkuasa mengatakan laporan patologi Adhif mendapati ujian air kencingnya bersih dan Jabatan Peguam Negara telah memerintahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai “tidak ada tindakan selanjutnya” (NFA). –MK