Apa sudah jadi dengan rancangan 150 ribu ujian Covid-19 sehari?

Seorang ahli parlimen pembangkang mendesak kerajaan untuk menjelaskan apa yang terjadi dengan rancangannya untuk meningkatkan ujian RT-PCR kepada150,000 sehari.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin mengatakan bahawa kerajaan telah berikrar untuk menggandakan ujian dari purata 70,000 pada bulan Januari.

Namun, kata Yeo, ujian masih berada dalam lingkungan 70,000 dalam beberapa minggu terakhir.

“Setelah empat bulan berlalu, angka-angka ujian kita masih dalam lingkungan 70,000 sehari, di mana angka 150,000 yang dijanjikan?

“Virus Covid-19 tidak menanti sesiapa, empat bulan adalah tempoh yang lama dalam pertempuran pandemik global sekali-dalam-seabad ini,” katanya.

Pada 21 Januari, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa pihaknya menyasarkan untuk melakukan 150,000 ujian sehari, tetapi dia tidak menetapkan jangka waktu.

Malaysia kini sedang menghadapi satu lagi gelombang peningkatan kes Covid-19. Semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi dilaporkan.

Yeo, yang juga bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, mengatakan bahawa selepas setahun menghadapi pandemik, kerajaan seharusnya mampu menjalankan ujian dan pengasingan yang lebih baik.

“Berapa banyak lagi PKP yang boleh kita tempuhi dalam membebaskan negara dari krisis Covid-19?

“Kerajaan betul betul hilang akal jika mereka terus melakukan perkara yang sama berulang kali, namun berharap hasil yang berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mendesak kerajaan membuka parlimen memandangkan jumlah kematian akibat Covid-19 semakin tinggi.

Dia mengulangi seruan bahawa perang melawan Covid-19 hanya dapat diselesaikan melalui pendekatan “seluruh kerajaan” dan “seluruh masyarakat”.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa pembangkang, dari parti mana pun akan beri respons positif kerana sudah menjadi tugas utama semua rakyat Malaysia yang patriotik untuk memastikan bahawa Malaysia tidak menjadi sepertik India atau Nepal dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/574678