Apa guna bayar gaji para menteri masa darurat?

Merujuk kenyataan Presiden Pas, Hadi Awang semalam, saya sememangnya bersetuju dengan beliau memang tidak patut jika mana-mana ahli politik berbelah mengenai jawatan PM.

Kenyataan Hadi Awang dikeluarkan dalam satu forum Ucapan Penangguhan Webinar Proklamasi Darurat : Apakah Satu Keperluan? dalam YouTube beliau semalam.

Namun, beliau tidak menjawab persoalan, apakah Parlimen wajar digantung jika benar kita sedang melalui darurat kesihatan.

Negara lain juga menghadapi pandemik Covid-19. Malah jumlah rakyat yang dijangkiti oleh wabak itu jauh lebih besar berbanding negara kita namun Parlimen mereka masih lagi bersidang seperti biasa.

Contohnya, Itali, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia negara-negara ini tidak menggantung sidang Parlimen hanya kerana darurat kesihatan.

Abdul Hadi diingatkan jangan cuba memutar-belit fakta yang dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak bersetuju dengan penggantungan Parlimen, bukannya bercakap tentang siapa mahu jadi Perdana Menteri.

Kita mempunyai Kabinet paling besar dalam sejarah negara tetapi langsung tidak berfungsi dan gagal mengekang penularan wabak Covid-19.

Malah, tiada pelan jangka panjang bagi pemulihan ekonomi negara yang ada cuma sibuk mengagihkan jawatan pada kroni-kroni.

Jika benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin tentang rakyat, saya cabar mereka memotong gaji 30 peratus sehingga tamat proklamasi darurat sehingga bulan Ogos ini.

“Apa guna bayar gaji para menteri menggunakan duit cukai rakyat Malaysia jika hal berkaitan rakyat tidak dibahaskan di Dewan Rakyat? Takkan makan gaji buta sahaja.”

Saya rasa rakyat Malaysia akan berbesar hati jika ahli politik kerajaan terutamanya menyedekahkan gaji mereka dalam membantu rakyat yang kesusahan bukannya sibuk meluluskan peruntukan hanya untuk membina dewan yang tidak penting. –MD