Anwar mahu PM beri perhatian yang lebih kepada kes Covid-19

Saya meneliti pandangan serta keluhan orang ramai terutama para pengamal perubatan terkait situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini yang diusulkan melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertarikh hari ini 7 Januari 2021.

Rata-rata mereka menzahirkan kebimbangan yang mesti diambil perhatian secara serius.

Oleh yang demikian, saya menggesa Perdana Menteri untuk memberi perhatian dan penekanan yang lebih berhubung kes COVID-19 yang semakin membimbangkan hari ini.

Wabak COVID-19 adalah isu negara. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar-pakar yang antaranya mengesyorkan untuk meningkatkan ujian COVID-19 dengan menggunakan kit RTK-Ag yang lebih murah, berbanding PCR.

Selain itu mereka juga turut mencadangkan kerajaan supaya mempercepatkan proses pengawalseliaan sehingga imunisasi dapat dimulakan sebaik sahaja vaksin pertama tiba. Selain mengutamakan kumpulan berisiko tinggi, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pemberian vaksin kepada pekerja migran untuk melindungi industri kita. Kos vaksin juga mesti dikawal dan harus kurang dari RM100 setiap dos.

Saya percaya cadangan mereka ini ada asas serta hujah kukuh dan kerajaan tidak harus mengabaikannya.

ANWAR IBRAHIM

Sumber :