Annuar Musa, masuk sahaja lah Bersatu!

Annuar Musa, masuk sahaja lah Bersatu!

Sekali lagi Annuar Musa cuba mencari sensasi dengan mendedahkan isu kandungan surat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Menambahkan sensasi lagi, beliau turut membangkitkan beberapa persoalan atau andaian tentang masa depan parti susulan surat tersebut yang bertujuan menjelaskan keputusan mesyuarat MT UMNO kepada Muhyiddin berhubung kerjasama UMNO dengan Bersatu.

Yang nyata, walaupun surat tersebut adalah adalah sulit antara Ahmad Zahid dengan Muhyiddin, Annuar nampaknya seperti diberikan salinannya, kemudian mendedahkannya sambil mengecam keputusan UMNO dan menunjukkan kecenderungannya memihak kepada Bersatu.

Siapakah agak-agaknya yang memberikan maklumat tentang surat tersebut kepada Annuar?

Adakah Muhyiddin sendiri yang memberikan salinan surat itu kepada Annuar?

Berhubung dua keputusan mesyuarat MT UMNO yang dimaklumkan Ahmad Zahid dalam suratnya kepada Muhyiddin – tiada kerjasama antara UMNO dengan Bersatu dalam PRU15 dan keberadaan UMNO dalam kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan – ini sebenarnya bukanlah perkara baru atau keputusan baru.

Perkara ini sebenarnya adalah pendirian asal UMNO sebaik saja mereka setuju berada dalam kerajaan PN dan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sejak awal lagi.

Ahmad Zahid dan bekas Presiden UMNO, Najib Razak telah beberapa kali menyebut dan mengingatkan tentang pendirian tersebut, baik dalam ucapan atau tulisan di platform media sosial mereka.

Malah, usul yang diluluskan oleh majoriti UMNO bahagian baru-baru ini yang setuju putus hubungan dengan Bersatu pun adalah berpandukan hakikat tersebut.

Akar umbi UMNO sendiri faham dan setuju untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRU akan datang, sebaliknya pendirian mereka hanya mahu bersama Pas dalam MN saja bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Jadi, kenapa Annuar kalut sangat dengan surat dan isi kandungan surat Ahmad Zahid kepada Muhyiddin itu?

Sebagai bekas Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung UMNO, Annuar ternampak tidak beretika kerana mendedahkan isu kandungan surat itu dan mempertikai keputusan parti serta seolah-olah menyerang Presiden parti sendiri.

Sesungguhnya ini bukanlah kali pertama Annuar berbuat demikian di mana sebelum ini beliau telah beberapa kali menunjukkan rasa tidak hormat kepada parti dan pimpinan UMNO, sebaliknya memperlihatkan lebih simpati kepada Bersatu dan Muhyiddin.

Sebagaimana sebelum ini beliau mendedahkan surat Ahmad Zahid dan Najib menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, pendedahannya kali ini seperti ulangan perangai tidak beretikanya sekali lagi.

Walaupun persoalan atau andaian yang dibangkitkan Annuar berhubung keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu seolah-olah untuk masa depan UMNO, Annuar sebenarnya hanya bertujuan melindungi Bersatu dan Muhyiddin, sambil mengkocak serta mengkucar-kacirkan kedudukan UMNO.

Ini kerana dengan keputusan UMNO sebagaimana dimaklumkan kepada Muhyiddin itu, kiranya kekal dilaksanakan dalam PRU15 akan datang, yang lebih dulu akan “sesak nafas” dan mungkin “lemas” adalah Bersatu.

Dengan tiada akar umbi dan ramai pemimpinnya yang berjawatan Ahli Parlimen sekarang adalah berasal daripada kelompok pelompat, tanpa ihsan UMNO sanggup berkongsi kerusi, Bersatu boleh dikatakan tiada masa depan lagi jika sekadar bersama PN.

Kecuali Pas, anggota PN lain iaitu Bersatu, Gerakan, STAR dan SAPP (dua parti di Sabah) bukanlah parti yang banyak pengaruh dan kuat kedudukan akar umbinya.

Begitu pun, bergantung kepada Pas semata-mata belum cukup memberi jaminan kejayaan buat Bersatu, silap-silap dengan sentimen penolakan rakyat terhadap Muhyiddin yang kian membesar dari semasa ke semasa, Pas sendiri boleh hanyut ditolak arus dengan pilihannya bekerjsama dengan Bersatu seperti sekarang ini.

Bagi Annuar sebagai pemimpin yang tidak berada dalam MT UMNO, beliau sepatutnya berlapang dada atas apa juga keputusan yang dibuat parti, bukan menunjukkan simpati atau memihak kepada parti lain.

Dalam hal parti, beliau hendaklah bersama UMNO, menyokong keputusan UMNO dan mempertahankan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO, manakala sokongan Muhyiddin hanya terhad kepada urusan kerajaan saja.

Ini tidak, dalam hal kerajaan beliau menyokong Muhyiddin dan dalam urusan UMNO pun sokongannya memihak kepada Muhyiddin juga.

Apa juga keputusan parti, terutama yang diputuskan oleh MT, ia tentulah setelah melalui proses perbincangan ramai, bukan keputusan seorang Presiden semata-mata.

Jika hakikat ini pun beliau gagal memahaminya, malah masih berterusan menunjukkan simpati dan memihak kepada Bersatu serta Muhyiddin, lebih baiklah sebenarnya Annuar segera keluar UMNO dan menyertai saja parti tersebut.

Lagi pun dengan sikapnya yang berterusan seperti “duri dalam daging” seperti ini, belum tentu namanya dipilih lagi sebagai calon di Parlimen Ketereh, bahkan siapa pun jadi Presiden UMNO pasti keberatan untuk menandatangani watikah calon untuknya

Sumber:https://shahbudindotcom.net/2021/03/04/annuar-musa-sengaja-cari-sensasi-isu-lama-lebih-baik-masuk-bersatu-segera.html