Annuar Musa dakwa Umno akan rugi jika tidak bersama PN

Annuar Musa dakwa Umno akan rugi jika tidak bersama PN

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa UMNO akan rugi jika tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila Parlimen dibubarkan.

“Sekiranya benar keberadaan UMNO dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan, apakah antara tarikh pembubaran hingga PRU (pilihan raya umum) diadakan. UMNO tidak berada dalam ‘caretaker government’ (kerajaan sementara).

“Tidakkah tindakan dibuat dalam keadaan tarikh PRU belum diputuskan, memberi ‘disadvantage’ (merugikan) kepada UMNO.

“Ia kerana, sudah tentu pihak kerajaan, khususnya BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin UMNO yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak BERSATU,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar mengulas spekulasi kepemimpinan UMNO memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu di Janda Baik, Pahang, pada 19 Februari lalu.

Ketua UMNO Ketereh itu berkata, beliau difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu bagi memaklumkan keputusan MKT UMNO.

Katanya, kandungan surat itu menjelaskan tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15, selain UMNO berpandangan penyertaan parti itu dalam kerajaan hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan.

“Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita ini benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan ini. Ahli juga perlu tahu, apakah benar dua perkara ini sememangnya diputuskan mesyuarat MKT.

“Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu dibuat sekarang sedangkan pilihan raya tak tahu bila. Banyak persoalan yang timbul.

“Kenapa sudah diputuskan tidak bekerjasama sekarang, sedangkan usul sedemikian perlu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) terlebih dahulu. Mengapa mendahului PAU (27 Mac depan),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mempersoal sama ada keputusan tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 akan memberi kekuatan atau hanya melemahkan UMNO.

“Tidak bekerjasama dengan BERSATU bererti tidak bekerjasama dengan PN yang terdiri daripada gabungan PAS, GERAKAN, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan lain-lain.

“Kalau sudah buat keputusan tidak bekerjasama dengan BERSATU atau PN, maka ahli mahu tahu UMNO mahu bekerjasama dengan siapa? Bersendirian?

“Dengan PKR dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)? Dengan DAP dan Lim Kit Siang?… jajaran baru?” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut mempersoalkan sama ada keputusan itu sudah diterima Dewan Tertinggi BN kerana UMNO bertanding menggunakan tiket gabungan itu pada PRU.

“Sebagai ahli, kita menunggu penjelasan pemimpin. Sudah lama akar umbi dalam kekaburan tanpa mengetahui ke mana hala tuju parti sebenarnya. Jika keputusan benar dibuat, usah bersembunyi.

“Beranilah berterus terang dengan ahli. Beritahulah pada ahli dan akar umbi. Kita tunggu penjelasan terhadap perkara ini,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/792283/umno-rugi-jika-tidak-bersama-pn-pada-pru-15-annuar